Pemasangan bendera Palestin dibuat sebelum kelulusan - MBPP

Bendera Palestin yang dipasang pada bangunan Flat Jalan Sungai yang didakwa digantung sebelum kelulusan diberikan MBPP.
Bendera Palestin yang dipasang pada bangunan Flat Jalan Sungai yang didakwa digantung sebelum kelulusan diberikan MBPP.
A
A
A

GEORGE TOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjelaskan bahawa pemasangan bendera Palestin di Flat Jalan Sungai dibuat sebelum mendapat kelulusan daripada pihaknya.

Ahli Majlis, Rohaizat Hamid berkata, permohonan dikemukakan kepada MBPP pada 11 Oktober sementara kelulusan telah dibuat pada 23 Oktober lalu.

Menurutnya, bendera Palestin tersebut telah digantung pada 14 Oktober iaitu sebelum tarikh kelulusan dikeluarkan.

"Bendera tersebut digantung sebelum kita memberi maklum balas secara bertulis kepada pihak berkenaan melalui surat rasmi bertarikh 23 Oktober 2023.

"Tindakan menaikkan bendera tersebut tanpa mendapatkan kelulusan MBPP dianggap sebagai melanggar garis panduan MBPP," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Rohaizat, sebarang cadangan pemasangan peralatan atau pelaksanaan aktiviti di premis MBPP perlu mendapatkan kelulusan daripada MBPP terlebih dahulu.

Surat yang tular yang mendakwa MBPP tidak memberi kelulusan pemasangan bendera Palestin di sebuah flat.
Surat yang tular yang mendakwa MBPP tidak memberi kelulusan pemasangan bendera Palestin di sebuah flat.

"Pertimbangan dan kelulusan MBPP akan diberi setelah mendapat pandangan daripada pelbagai jabatan tentang cadangan tersebut dari segi keselamatan, penggunaan ruang dan saiz bendera yang dicadangkan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, dalam kes ini, perkara tersebut tidak berlaku kerana bendera tersebut telah dipasang terlebih dahulu sebelum kelulusan diberi," katanya.

Beliau turut menegaskan, MBPP tiada halangan untuk menunjukkan tanda solidariti terhadap pergolakan yang berlaku kepada rakyat Palestin.

"Pemasangan bendera yang panjang seperti itu dikhuatiri boleh menimbulkan masalah dari segi keselamatan.

"Jika diikutkan, MBPP berhak untuk menurunkan bendera tersebut kerana tanpa kelulusan.

"Bagaimanapun atas keprihatinan MBPP, tindakan tersebut tidak diambil dan bendera tersebut masih digantung di situ," katanya.

Rohaizat berkata, MBPP juga telah menerima rayuan mengenai pemasangan bendera tersebut dan perkara itu sedang diteliti untuk dipertimbangkan dalam mesyuarat jawatankuasa MBPP untuk kelulusan.

"MBPP ingin sekali lagi menegaskan bahawa surat yang tular tersebut bukan satu halangan bagi penghuni bangunan MBPP untuk memberi sokongan atau solidariti kepada rakyat Palestin.

"Sebaliknya surat itu merupakan garis panduan yang ditetapkan oleh MBPP yang perlu dipatuhi oleh semua pihak," katanya.

Pada Khamis, tular di aplikasi TikTok mengenai sepucuk surat MBPP yang didakwa tidak meluluskan permohonan pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk menaikkan bendera Palestin di Flat Jalan Sungai di sini.

Sebelum ini, penduduk telah menaikkan bendera Palestin sepanjang 15 meter di flat tersebut sebagai tanda soladariti kepada perjuangan rakyat Palestin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!