Fuziah cuba jadi juara isu pekebun di Cameron Highlands

Fadzli
Fadzli
A
A
A

KUANTAN - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dilihat cuba menjadi juara dalam isu pekebun sayur di Kuala Terla, Cameron Highlands dengan lantang menyalahkan kerajaan Pahang dalam isu berkenaan.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal mendakwa, tindakan Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan itu dilihat cuba menangguk di air keruh dengan menuduh kerajaan Pahang menggunakan kekerasan ke atas pekebun sayur berkenaan.

Menurutnya, Fuziah sendiri sedia maklum, operasi penguatkuasaan terhadap tanah-tanah yang diteroka secara haram di Cameron Highlands itu dilakukan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan.

"Langkah penguatkuasaan ini juga sudah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands Bil 2/2019, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

"Persoalannya, kenapa beliau (Fuziah) hanya mahu menyalahkan kerajaan Pahang semata-mata dalam operasi penguatkuasaan ini.

"Kenapa tidak menegur dan mengkritik Timbalan Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan atas isu ini," katanya dalam satu kenyataan.

Fadzli berkata, Fuziah juga tahu pekebun sayur di Sungai Tiang telah diberi notis sejak Februari tahun lalu, manakala pekebun sayur di Sungai Ichat menerima notis sama Mac tahun ini untuk mengosongkan kawasan kebun mereka.

Katanya, tuduhan Fuziah kononnya operasi penguatkuasaan ini dilakukan pada waktu yang kurang sesuai jelas tidak benar.

Artikel Berkaitan:

"Beliau seolah cuba menjadi juara dalam isu ini tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat Cameron Highlands. Kenyataan beliau langsung tidak membantu meredakan isu ini sebaliknya lebih mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Menurutnya, Fuziah sendiri sedar pencemaran air yang sangat teruk berlaku di kawasan yang diterokai sehingga mengancam kesejahteraan masyarakat Cameron Highlands untuk jangka masa panjang selain turut berlaku pergerakan cerun yang mampu mengakibatkan bencana tanah runtuh pada masa depan.

"Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak mengambil pendekatan popular demi memenangi hati kelompok tertentu kerana ia menyentuh soal nyawa, keselamatan dan kesejahteraan majoriti masyarakat di Cameron Highlands.

"Sebaliknya menteri besar telah bertindak secara profesional dan berlandaskan kepentingan rakyat serta mengikut prosedur yang telah ditetapkan malah keputusan itu turut dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata, tidak timbul dakwaan kononnya kerajaan Pahang menindas atau menzalimi pekebun sayur yang terlibat.

"Sebaliknya kami rakyat Pahang amat menghargai usaha kerajaan negeri yang bertungkus-lumus memajukan, memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan asing ke dalam negeri, meningkatkan kutipan hasil dan menyejahterakan hidup rakyat di negeri ini.

"Kami rakyat Pahang menyokong penuh keputusan kerajaan negeri dalam mempertahankan kawasan tadahan air Kuala Terla dan jangan sesekali berkompromi atau tunduk kepada desakan atau ugutan pihak tertentu dalam isu ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!