Kim Swee tuntut Sabah kekal rentak tiga mata

Daniel Ting (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Hai Phong FC dalam saingan aksi Kumpulan H Piala AFC di Stadium Likas malam ini.
Daniel Ting (kanan) cuba melepasi kawalan pemain Hai Phong FC dalam saingan aksi Kumpulan H Piala AFC di Stadium Likas malam ini.
A
A
A

TIGA mata diraih Sabah FC ketika membelasah Hai Phong 4-1 dalam perlawanan Kumpulan H Piala AFC di Stadium Likas pada Khamis disifatkan pemacu semangat The Rhinos dalam memburu slot peringkat seterusnya.

Itu reaksi pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee apabila berkata, keputusan dalam perlawanan itu juga amat penting sekiranya Sabah berhasrat mara ke pusingan seterusnya.

“Sabah pula jika dilihat kedudukan dalam kumpulan sebelum perlawanan agak sedikit selesa.

“Tiga mata dalam perlawanan ini penting biarpun berbaki dua perlawanan lagi, kerana Makassar pun sedang mengintai peluang tempat kedua kumpulan.

“Saya sekali mengingatkan para pemain Sabah untuk mengekalkan disiplin dan tidak mengambil mudah apabila berdepan Hougang dan Makassar selepas ini,” katanya selepas perlawanan.

Stadium Likas sebelum itu kekal menjadi gelanggang keramat Sabah selepas meraih kemenangan bergaya ke atas kelab Vietnam tersebut.

Gol Rhinos dijelmakan Daniel Ting pada minit ke-20, Darren Lok (m-34), Gabriel Perez (m-70) dan Jafri Chew (m-95) manakala jaringan saguhati Hai Phong disumbangkan Yuri Souza (m-85).

Kemenangan di Kota Kinabalu itu membolehkan anak buah Datuk Ong Kim Swee mengumpul sembilan mata selepas mengharungi empat perlawanan - tiga menang dan satu tewas - sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Tiga mata diraih itu juga menebus kekalahan 3-2 anak buah Kim Swee kepada skuad kendalian Chu Dình Nghiem di Stadium Lach Tray pada 25 Oktober lalu.

Sementara itu, Kim Swee menyifatkan kedua-dua kejohanan baik Liga Super ataupun Piala AFC merupakan kejuaraan penting kepada Sabah pada musim ini.

“Kita masih lagi mempunyai peluang untuk memastikan pasukan Sabah berjaya mara ke peringkat seterusnya Piala AFC.

“Ini termasuk juga pasukan Terengganu FC dan JDT (Johor Darul Ta'zim) yang akan menambahkan ranking kelab negara Malaysia, kemungkinan dapat dua slot Liga Juara-Juara Asia ataupun Piala AFC

“Jadi kita tak boleh ambil mudah dengan fokus kepada satu kejuaraan kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam kedua-kedua saingan.

“Dalam saingan Liga Super pula sekiranya kita berjaya mengakhiri saingan baki empat perlawanan, kemungkinan pengakhiran di tempat ketiga liga,” katanya.

Pada masa sama Kim Swee percaya pemain Sabah menunjukkan disiplin ketika pasukan memimpin perlawanan tersebut.

“Separuh masa kedua pasukan Hai Phong berusaha kembali semula dalam permainan

“Apabila Gary (Steven Robbat) masuk menggantikan Darren, kita kembali mendapat keseimbangan di bahagian tengah

“Para pemain melakukan tanggungjawab masing-masing dengan cukup baik pada malam ini,” katanya.

Dalam pada itu Kim Swee mahu pemain-pemain Sabah untuk segera menyesuaikan diri apabila sistem permainan berubah.

“Sekiranya kita dibolosi, contohnya semasa mendahului dua gol menjadi 2-1, itu akan meletakkan tekanan kepada para pemain.

“Namun Hai Phong agak sukar untuk kembali dalam permainan apabila kita berjaya mendapat gol ketiga.

“Jadi seperti yang saya tekankan sebelum ini adalah amat penting memastikan pasukan tidak dibolosi dalam setiap perlawanan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!