Indahnya dakwah Rasulullah menerusi pernikahan
Ia umpama ‘perkahwinan politik’ yang mencetus pengembangan syiar Islam dan melebarkan lagi wilayah dakwah
PADA 27 Oktober lalu, Sinar Islam menyiarkan kisah tiga mualaf yang menerima hidayah ALLAH SWT atas nama perkahwinan. Sebenarnya, ia bukanlah perkara baharu.
Sebaliknya, dakwah Islam melalui perkahwinan pada hakikatnya pernah ditonjolkan sendiri oleh Rasulullah SAW.
Buktinya, ujar pendakwah Ustazah Asmak Husin, Nabi Muhammad SAW mengahwini tawanan Perang Muraisi’ yang juga seorang tokoh dalam kalangan kaum Bani Musthaliq iaitu ummul mukminin Juwairiyah binti Al-Hariths.
“Jika dilihat, Bani Musthaliq sebelum itu begitu memusuhi Rasulullah dan orang Islam, tetapi selepas pernikahan tersebut, mereka pun bersatu,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.
Satu lagi contoh, katanya, ia dapat dilihat apabila junjungan besar nabi kita mengahwini Safiyah binti Huyay yang berketurunan Yahudi.
Asbab penyatuan tersebut, ia memudahkan urusan dakwah dan mengembangkan Iagi ajaran Islam, ungkapnya.
Begitu juga Rasulullah SAW telah memadamkan kebencian kaum Makhzum dengan mengahwini Ummu Salamah.
“Mudah kata, ia umpama ‘perkahwinan politik’ yang menyebabkan Islam itu tersebar dan berlaku pengembangan sesebuah negara.
“Ini kerana menerusi pernikahan itu, wujud rasa cinta dan ia akan mengikat hubungan dua keluarga, di samping keluarga-keluarga besar yang lain.
“Apatah lagi jika ia melibatkan (perkahwinan) sesama pemimpin (dalam satu kaum) yang menyebabkan bertambahnya kekuatan mereka, sekali gus menyebabkan dakwah Islam berlaku dengan cepat,” terangnya panjang lebar.
Proses pembelajaran
Bukan sekadar penyatuan dua jiwa, Ustazah Asmak menjelaskan, pernikahan sebenarnya merupakan suatu proses pembelajaran yang akhirnya melorongkan kita ke jalan yang benar andai dikurniakan pasangan baik.
“Perkahwinan juga merupakan satu dakwah iaitu daripada tak tahu kepada tahu, daripada kurang tahu kepada lebih tahu dan daripada kurang beramal kepada lebih beramal.
“Andai ia melalui jalan yang betul, penyatuan dua hati itu juga akan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan melahirkan zuriat yang bagus. Sebab itulah pernikahan juga dianggap sebagai satu jihad dakwah,” ungkapnya.
Berkahwin dengan mualaf sudah tentu menuntut pengorbanan yang bukan calang-calang. Ini kerana besar tanggungjawab pasangannya untuk mentarbiah suami atau isteri yang baru bergelar Muslim.
Perkara itu diakui oleh Ustazah Asmak dan beliau mengingatkan, menjadi peranan pasangan untuk mendidik, memberi kefahaman tentang Islam dengan cara yang betul dan sama-sama berubah.
“Mengikut pengalaman saya berhadapan dengan keluarga mualaf, pasangan Muslim mesti kuat. Walaupun pasangan mereka sudah masuk Islam, kadangkala kefahaman mereka tentang ajaran suci ini lebih jelas daripada kita orang Islam sendiri.
“Cuma berhati-hati dengan tabiat biasanya yang kemungkinannya sukar untuk ditinggalkan sebelum dia masuk Islam. Sebab itu penting peranan pasangan dalam hal ini,” katanya.
Perbezaan budaya
Itu satu hal. Belum lagi menyentuh perihal budaya, latar belakang dan adat berbeza walaupun sama-sama duduk di Malaysia, terangnya.
“Kita kena ingat, apabila seseorang itu masuk Islam, bukan bermaksud kita kena terus tukar mereka menjadi Melayu. Bukan begitu caranya kerana ada perkara yang mualaf tadi boleh kekalkan jika budaya tersebut baik dan tidak bertentangan dengan Islam.
“Jadi tidaklah sampai dia meninggalkan 100 peratus budaya asalnya (dalam sesuatu kaum). Andai perkara ini tidak difahami, ia boleh menyebabkan perpecahan dalam perkahwinan,” ujarnya.
Bagi pasangan suami isteri yang masih mempunyai ibu bapa atau mertua bukan Islam, Ustazah Asmak yang juga Penaung Ikhtiar Insan Care menasihatkan agar mereka tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap orang tua masing-masing.
Dalam hal itu, beliau memberi galakan kepada anak-anak untuk duduk sekali dengan ibu bapa atau mertua walaupun mereka belum Islam kerana ia akan merapatkan hubungan.
“Dari situ, kita tunjukkan dakwah yang betul, bukan cara memaksa. Maksudnya, dakwah itu dengan menzahirkan akhlak yang diajar oleh Islam dan agama ini tidak pernah memutuskan hubungan dengan ibu bapa walaupun mereka berdosa, tak masuk Islam dan sebagainya. Apa pun, mereka tetap orang tua kita.
“Cuma saya sarankan supaya terangkan kepada ibu bapa dan beri kefahaman tentang apa yang boleh serta tidak boleh dalam Islam. Misalnya, kalau ibu bapa hendak makan khinzir dalam rumah, sediakan dapur khas untuk tujuan tersebut.
“Saya lihat kebanyakan kawan saya (duduk bersama mertua bukan Islam), mereka tiada masalah untuk tinggal bersama sehinggakan ada ibu bapa mereka sendiri yang jaga cucu yang Muslim. Dia pula yang perhatikan supaya cucunya solat, mengaji, jaga adat dan lain-lain,” katanya.
Bagaimana cara terbaik untuk saudara baharu untuk istiqamah dan menjadi da’i pula kepada ahli keluarga atau rakannya yang belum Islam?
Menjawab persoalan itu, Ustazah Asmak menjelaskan, caranya tidak lain tidak bukan adalah wajib mengikuti kelas dan duduk dalam kumpulan usrah yang disediakan oleh Majlis Agama Islam Negeri, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), masjid dan sebagainya.
“Jangan setakat pergi belajar, kemudian setakat itu saja, tetapi lazimkanlah diri dengan melakukan aktiviti yang baik, bergaul dengan orang masjid dan berhubung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mualaf yang baik.
“Dari situ, mereka boleh membina kredibilitinya dan pengetahuannya tentang Islam. Kadangkala mereka lagi kuat untuk menceritakan Islam kepada kawan-kawan sebangsa atau sealiran dengannya.
“Namun, kena pastikan kawasan yang selalu didampingi itu dalam suasana persekitaran yang baik,” tuturnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!