Eksekutif khidmat pelanggan ditahan disyaki terima sogokan RM45,000
PUTRAJAYA - Seorang eksekutif khidmat pelanggan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah dipercayai menerima rasuah berjumlah RM45,000 bagi membuat pertukaran ejen pengambilan pekerja asing.
Sumber berkata, SPRM Putrajaya bertindak menahan reman eksekutif wanita terbabit kerana menerima sogokan sebagai balasan melakukan perkara terbabit melalui sistem komputer.
Menurutnya, suspek dipercayai membuat pertukaran ejen pengambilan pekerja asing warga Bangladesh.
"Suspek berusia dalam lingkungan 20-an ditahan semalam (Khamis) kira-kira jam 5 petang di ibu pejabat SPRM Putrajaya, selepas dia diminta hadir untuk memberikan keterangan," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, suspek bekerja dengan sebuah syarikat membekalkan sistem pengurusan pekerja asing dan wanita itu dipercayai telah melakukan perbuatan terbabit sejak Jun hingga Oktober 2023.
Katanya, perintah reman selama tujuh hari bermula Jumaat sehingga 16 November 2023 itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, selepas pihak SPRM membuat permohonan terbabit di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!