Lapor segera, jangan hanya buat dakwaan - Jalaluddin

Jalaluddin (tengah) ditemui pemberita selepas membuat Tinjauan Mesra SHMMP Deepavali peringkat Negeri Sembilan di Jelebu.
Jalaluddin (tengah) ditemui pemberita selepas membuat Tinjauan Mesra SHMMP Deepavali peringkat Negeri Sembilan di Jelebu.
A
A
A

JELEBU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jangan hanya membuat dakwaan sebaliknya perlu segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya benar berlaku sogokan kepada ahli Parlimen parti itu supaya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Barisan Nasional (BN) juga pernah berdepan situasi sama sebelum ini apabila beberapa ahli Parlimennya menyertai Bersatu, tetapi tidak membuat tuduhan sebegitu.

"Sesiapa pun boleh cakap. Dulu ketika BN hilang beberapa sokongan ahli Parlimen yang beralih kepada Bersatu, kita (BN) tak kata pun mereka disogok oleh pemimpin Bersatu dan sebagainya.

"Kenapa sekarang ada dalam kalangan mereka yang nyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, dikata terima sogokan sedangkan mereka tidak pun melompat parti," katanya ditemui membuat Tinjauan Mesra Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 peringkat Negeri Sembilan di Pasar Awam Simpang Pertang di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan telah menerima maklumat terdapat gerakan terancang bagi melemahkan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) melalui sogokan serta ugutan terhadap ahli Parlimen gabungan tersebut.

Jalaluddin berkata, menjadi hak setiap ahli Parlimen untuk menyatakan sokongan kepada sesiapa pun dan tindakan pemimpin tersebut dilakukan demi pengundi di kawasan mereka.

"Kalau kata saya nak nyatakan sokongan kepada sesiapa pun, ini hak saya sebagai ahli Dewan Rakyat.

"Saya percaya keeempat Ahli Parlimen Bersatu yang nyata sokongan kepada Perdana Menteri ini setelah fikirkan soal yang berkaitan dengan pengundi dan pembangunan di kawsan Parlimen mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu ditanya berkenaan cadangan Bersatu supaya Akta Lompat Parti dikaji semula, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, setiap pendekatan dan juga perubahan atau akta yang diluluskan di Parlimen dilaksanakan setelah melalui kajian dan juga penelitian oleh pelbagai pihak termasuk jabatan-jabatan di Kementerian.

"Akta ini sudah jelas katakan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri dan ahli Parlimen tak boleh lompat parti selepas akta itu diluluskan.

"Setakat ini ia sudah dipraktikkan oleh setiap parti, ADUN dan ahli Parlimen dan saya tak nampak sebarang masalah,"katanya.

Tambahnya, jika Bersatu melihat menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri itu sebagai salah satu perlanggaran kepada akta tersebut, mereka sepatutnya meneliti semula keseluruhan yang termaktub dalam akta itu.

Sebelum ini ahli Parlimen dari Bersatu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) dan Zahari Kechik (PN-Jeli) menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!