Lima cadangan MCA pulihkan pelancongan di Langkawi
SHAH ALAM - Peniaga dan pengusaha di Langkawi perlu mempamerkan harga setiap makanan, barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan di tempat mudah dilihat agar pelancong tidak berasa tertipu dikenakan bayaran di luar jangkaan.
Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low Ah Keong berkata, itu antara lima cadangan daripada pihaknya bagi memulih dan mengembalikan zaman kegemilangan pelancongan di Langkawi.
Menurutnya, pihak berkuasa juga perlu sentiasa berada di lapangan untuk memantau agar tiada peniaga yang berani mengenakan harga tinggi serta meraih keuntungan melampau sehingga menekan pengguna.
“Kemudahan infrastruktur dan sistem pengangkutan awam mesti ditambah baik. Contohnya, pengoperasian feri sentiasa konsisten serta menepati waktu, sekiranya terdapat masalah teknikal, ia perlu diganti dengan plan B secepat mungkin.
“Ia bertujuan mengelakkan berlaku masalah kelewatan sehingga menyusahkan penumpang terutamanya bagi mereka yang membawa anak kecil,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Tambah Lawrence Low, selain jambatan kaca Sarang Helang (Eagle Nest) dan pusat selam snorkel di Pulau Singa, Langkawi mesti menambah produk serta elemen baharu supaya Langkawi kekal segar sebagai destinasi pelancongan terbaik di Malaysia.
“Penting juga diingatkan bahawa industri pelancongan ini amat luas dan ia tidak boleh dikawal oleh mereka yang ekstremis dengan berfikiran sempit sehingga memberi kesan negatif.
“Selain itu, semua pihak sama ada kerajaan negeri, Persekutuan dan agensi-agensinya serta pemain industri merangkumi pengusaha tempat pelancongan segera duduk semeja berbincang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Usaha mempromosikan ini bukan sahaja untuk menarik minat pelancong domestik malah asing. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang berkelayakan juga perlu dilantik segera,” ujarnya.
Jelas Lawrence Low, semua pihak wajar berganding bahu untuk membaiki kelemahan dan kekurangan dengan mempergiatkan promosi serta memberi penerangan positif, seterusnya membawa kepada pemulihan agar zaman kegemilangan tersebut dapat dikembalikan.
Beliau berkata, isu berkaitan pelancongan di Langkawi harus dipandang serius dan diperbetulkan yang bukan sahaja untuk memberi manfaat kepada penduduk tempatan, namun kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Terdapat pelbagai pandangan dan ia lebih kepada saling menyalahkan antara satu sama lain tetapi setiap pandangan yang dilontarkan perlu didengar dan segera mencari jalan penyelesaian,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!