Pegawai SPRM anggotai pasukan khas MITRA pantau pengurusan dana
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganggotai Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi membantu dalam memantau pengurusan dana, kata Pengerusinya, Datuk R Ramanan.
Beliau berkata, langkah berkenaan dapat memastikan dana unit tersebut digunakan sepenuhnya dan diagihkan dengan lebih telus untuk pembangunan dan kemajuan masyarakat India.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) kerana beliau telah memberikan pegawainya yang akan turut hadir (semasa mesyuarat) serta akan membimbing kami dalam memastikan tiada salah urus (dana) berlaku,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.
Langkah berkenaan akan memastikan pelaksanaan dan pengurusan MITRA lebih telus, selain memastikan setiap pemohonan melalui proses tapisan yang lebih jelas, katanya.
Ramanan berkata, demikian sebagai mengulas kenyataan Azam pada Selasa lepas bahawa siasatan SPRM berhubung penyelewengan dana MITRA telah selesai dan individu terlibat juga sudah didakwa di mahkamah.
Azam juga dilaporkan telah mengemukakan kepada MITRA saranan serta nasihat mengenai prosedur lemah unit itu.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang juga Ahli Jawatankuasa MINTRA yang turut hadir dalam sidang media itu berkata beliau yakin pada masa hadapan, persepsi terhadap unit itu akan berubah.
"Saya juga yakin, di bawah pimpinan pengerusi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tujuan dan matlamat MITRA akan tercapai dan kita akan pastikan lebih banyak rakyat Malaysia berbangsa India akan dapat dibantu,” katanya.
Mengenai perancangan MITRA pada tahun hadapan yang dibincangkan pada mesyuarat hari ini, Ramanan berkata, pihaknya akan lebih fokus terhadap status program sosioekonomi dan pendidikan masyarakat India di Malaysia.
Menurutnya, lebih 10,000 pelajar telah mendapat peruntukan dana MINTRA dengan 7,000 telah menerima bantuan pada tahun ini berjumlah kira-kira RM30.96 juta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!