Sambut 71 tahun dengan larian 71 kilometer!

Fatimah mengharapkan doa orang ramai agar ibunya dapat melaksanakan misinya untuk berlari sejauh 71 kilometer sempena hari jadinya.
Fatimah mengharapkan doa orang ramai agar ibunya dapat melaksanakan misinya untuk berlari sejauh 71 kilometer sempena hari jadinya.
A
A
A

SHAH ALAM - Perkongsian seorang wanita mengenai hasrat ibunya yang mahu berlari sejauh 71 kilometer sempena usia 71 tahun menerima reaksi daripada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ibunya yang dilihat masih sihat dan ceria ketika menyertai satu program larian itu kini tular di media sosial.

Wanita tersebut yang menggunakan nama @CikFatimah memuat naik satu hantaran dan dikongsikan dengan Tunku Azizah, memohon supaya tuanku mendoakan kesihatan ibunya.

“Ampun tuanku. Mak patik sampaikan salam buat tuanku. Mak patik mohon doakan semoga diberikan kesihatan yang baik. Insya-ALLAH 2020 mak patik dalam misi berlari 71KM sempena usianya 71 tahun,” tulisnya.

Tunku Azizah kemudian membalas ciapan berkenaan dengan menulis, “Saya doakan dan kirim salam dekat mak,” tulis baginda.

Perkongsian Fatimah turut mendapat respons daripada Raja Permaisuri Agong yang mendoakan kesihatan ibunya.
Perkongsian Fatimah turut mendapat respons daripada Raja Permaisuri Agong yang mendoakan kesihatan ibunya.

@CikFatimah atau nama sebenarnya Fatimah Abdul Hamid turut berkongsi kisah ibunya setelah menerima respons daripada Raja Permaisuri Agong.

Tulisnya, ramai yang bertanyakan kepadanya bagaimana ibunya mampu berlari berpuluh kilometer walaupun sudah menjangkau usia emas.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ibunya bukan sahaja gemar mengamalkan pemakanan yang sihat malah sentiasa melakukan pelbagai aktiviti walaupun ketika berada di rumah.

“Bangun pagi sebelum azan subuh dan mandi waktu pagi kemudian mak solat sunat sebelum subuh. Mak juga amalkan solat-solat sunat tak kiralah dekat mana. Mak amalkan makan madu sebelum sarapan. Madu tu dah jadi kemestian, pergi mana pun madu mesti mak bawak. Madu asli ya bukan madu artis yang jual.

“Mak biasanya waktu pagi tak akan duduk dalam rumah, pagi mak kalau tak ada kelas ngaji, mak akan berkebun. Benda ni dari aku kecil sampai sekarang. Berkebun je hobi mak. Mak tak makan fast food, burger, air bergas kecuali 100 plus (itu pun sesekali), ais.

“Mak suka minum air suam, dan kopi tak bergula. Mak juga suka minum air buah-buahan dan suka makan makanan yang sihat atau mak masak. Jaranglah kalau beli makanan dekat luar kecuali masa ayah sakit. Mak tak suka masak campur ajinomoto,” kongsinya.

Fatimah turut berkongsi, ibunya sentiasa mendekatkan diri dengan ALLAH dengan mengamalkan zikir walaupun ketika ibunya melakukan aktiviti larian dan insan yang disayanginya itu merupakan seorang insan yang sentiasa positif.

“Mak juga amalkan zikir dan baca al-Quran pada waktu lapang. Masa berlari mak akan bawa tasbih sambil berlari. Ini aku fail, aku dengar lagu lagha masa berlari.

“Masa berlari selalu mak kata “tak payah risau kekuatan mak ni ALLAH yang bagi”, mak kata ALLAH segalanya yang menjaga mak," tulisnya.

Rata-rata netizen yang membaca perkongsian itu meluahkan rasa kagum dengan kehebatan yang dimiliki ibu Fatimah dan berharap hasrat ibunya tercapai.

“Ibumu memang terbaik Fatimah. Saya yang muda lagi ini pun 10 kilometer dah pancit. Amat mengagumi ibumu yang mempunyai fitness yang tinggi. Saya doakan agar hajat dia untuk berlari pada tahun depan akan tercapai, Aamin,” tulis Fattah Ayub di Twitter.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!