Pelancongan di Langkawi tak ‘lumpuh’, tempahan hotel lebih 50 peratus

Industri pelancongan dan perhotelan di Langkawi tidak ‘lumpuh’ seperti didakwa. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Eugene)
Industri pelancongan dan perhotelan di Langkawi tidak ‘lumpuh’ seperti didakwa. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Eugene)
A
A
A

ALOR SETAR - Industri pelancongan dan perhotelan di Langkawi tidak ‘lumpuh’ seperti didakwa.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Eugene Dass berkata, ini kerana tempahan penginapan hotel menggalakkan sepanjang musim cuti perayaan Deepavali dalam tempoh dua minggu ini.

Menurutnya, dianggarkan lebih 50 peratus bilik penginapan ditawarkan kepada pengunjung telah ditempah dan percaya ia akan melonjak pada penghujung tahun ini.

“Berdasarkan tinjauan, kebanyakan hotel sekitar pekan Kuah mempunyai tempahan 50 peratus atau lebih. Namun jika dibandingkan dengan era sebelum pandemik Covid-19, tempahan (sekarang) masih tidak semeriah seperti sebelum itu,” katanya pada Jumaat.

Eugene berkata, trend kemasukan pelancong ke pulau legenda juga tertakluk kepada musim percutian dan di luar musim.

“Ia merupakan kitaran sektor pelancongan yang turut dialami destinasi pelancongan lain, iaitu ‘peak season’ (ramai) dan ‘low season’ (merosot). Setakat ini trend kemasukan pelancong menggalakkan.

“Penginapan hotel turut mengalami ‘peak’ dan ‘low season’ bermakna ada masa dipenuhi pelancong dan ada ketika lengang. Langkawi tidak terkecuali, kebiasaan bulan Ogos, September dan Oktober adalah ‘low season’,” ujarnya.

Menurutnya lagi, dari masa ke masa, industri perhotelan menawarkan pakej pelancongan murah, tawaran hebat termasuk pakej pelancongan keluarga sebagai tarikan musim percutian.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan perkara baharu. Menjelang musim cuti persekolahan atau perayaan, pihak hotel berpusu-pusu promosikan pakej murah atau pakej menarik.

“Ini antara inisiatif dalam memposisikan Langkawi sebagai destinasi pilihan, khususnya buat percutian keluarga,” jelasnya.

Eugene sekali gus menepis dakwaan kononnya penginapan hotel di Langkawi mula menurunkan harga selepas isu pelancongan Langkawi malap tular di media sosial kebelakangan ini.

“Langkawi merupakan destinasi pelancongan menarik bagi semua lapisan masyarakat. Sokongan daripada pelancong domestik menjadi pencetus kepada keseluruhan industri dalam sektor ini,” jelasnya.

Namun tegasnya, kunjungan pelancong antarabangsa sedikit terjejas susulan Langkawi masih kekurangan jaringan penerbangan terus seperti tahun-tahun sebelumnya.

“MAH yakin tahun 2024 akan menjadi lebih positif untuk industri pelancongan berbanding tahun ini, dengan adanya usaha mempromosikan Langkawi serta komitmen daripada syarikat penerbangan dan agensi pelancongan antarabangsa yang akan dilaksanakan oleh pemain industri,” katanya.

Eugene berkata, Langkawi sebelum ini telah pun dibanjiri pengunjung dari dalam dan luar negara ketika menjadi tuan rumah acara berprestij, Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023) Mei lalu.

“Kemungkinan pelancong memilih destinasi pelancongan lain pula untuk bercuti hujung tahun ini kerana sudah berkunjung pada LIMA 2023 lalu.

“Saya percaya Langkawi akan tetap menjadi pilihan pelancong kerana memiliki pelbagai tempat menarik untuk dilawati selain alam semula jadi dan keunikan pantainya,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!