Julie’s Biscuits galakan orang ramai kurangkan pembaziran plastik
KUALA LUMPUR - Julie’s Biscuits menerusi program 'Upcycling From Waste to WOW’ mengajak orang ramai untuk menggunakan elemen kreativiti sebagai salah satu usaha melindungi alam sekitar atau ‘upcycling’ dan mengurangkan pembaziran plastik di negara ini.
Program menerusi kerjasama dengan Beyond Bins oleh Biji-biji Inisiative itu merupakan sorotan bengkel inovatif yang bertujuan mendedahkan peserta dengan proses kitar semula dan mentransformasikan tab plastik Julie’s Biscuit iaitu ‘Love Letters’ menjadi lentera atau lampu yang bercahaya.
Pengarah Julie’s Biscuits, Tzy Horng Sai berkata, pendekatan itu dilihat dapat menginspirasikan para jemputan dengan menyediakan pengalaman interaktif yang mempromosikan kelestarian, kreativiti dan perkembangan kendiri.
“From Waste to WOW’ menampilkan demonstrasi praktikal dan mempromosikan kemahiran praktikal dengan panduan mereka yang mahir dalam dunia ‘upcycling’.
"Kami percaya dalam kuasa transformatif ‘upcycling’. Oleh itu, bengkel ini adalah suatu tampilan pertama galakan aktiviti kreatif bagi menukarkan tab plastik ‘Love Letters’ biasa menjadi sebuah lentera bercahaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program ‘Upcycling’ Julie’s Biscuit ‘From Waste to WOW’ di Galeri Beli Belah Publika, Solaris Dutamas pada Jumaat.
Ujar Horng Sai, kerjasama dengan Beyond Bins menekankan komitmen terhadap tanggungjawab alam sekitar sekali gus mempamerkan peluang tanpa batas untuk menukar sisa menjadi hasil yang kreatif dan berfungsi.
“Kolaborasi ini adalah sejajar dengan misi kami untuk menginspirasikan perubahan positif dan mengurangkan kesan alam sekitar," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Biji-Biji Initiative, Juliana Adam berkata, kerjasama antara pihaknya dengan Julie’s Biscuits sudah berterusan untuk tempoh yang lama berikutan masing-masing berkongsi nilai sama dari aspek mengekalkan kelestarian alam sekitar.
“Kami mahu mencipta perubahan yang bergerak ke hadapan ke arah kelestarian untuk diri sendiri dan negara.
“Visi kami Biji-Biji Initiative adalah untuk mendemokrasikan akses kepada teknologi dan pendidikan untuk memupuk dan pembangunan kelestarian yang inklusif,” ujarnya.
Turut hadir dalam acara tersebut adalah Pengarah Julie’s Biscuits, Martin Ang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!