Sesuaikah khatan kanak-kanak di masjid?

Jagalah kesucian masjid dan surau sesuai statusnya sebagai rumah ALLAH
Jagalah kesucian masjid dan surau sesuai statusnya sebagai rumah ALLAH
A
A
A

KEBIASAANNYA bila tiba cuti persekolahan, kanak-kanak lelaki yang berusia 6 hingga 10 tahun pasti berdebar. Mereka akan beralih daripada fasa anak kecil ke pra remaja, dan sebagai umat Islam Nusantara ia ditanda dengan prosedur berkhatan.

Berbeza dengan amalan berkhatan di negara-negara Timur Tengah, bayi lelaki disunatkan pada hari ketujuh hingga memasuki usia empat bulan.

Selain klinik atau hospital menjadi lokasi pilihan utama untuk bersunat di Malaysia, ramai juga ibu bapa sepakat untuk mengkhatankan anak di masjid.

Terdapat masjid atau surau di kariah tertentu mengambil inisiatif menghimpunkan anak anak para jemaah untuk menyertai program berkenaan. Dari satu sudut, acara seumpama ini patut dipuji kerana ia berupaya menyatukan masyarakat setempat dan pada masa sama dapat mengimarahkan rumah ALLAH, namun adakah kita menilai kewajarannya dari sudut hukum syarak?

Apatah lagi, operasi berkhatan akan melibatkan pendedahan aurat anak-anak, kebersihan ruang dalaman dan persekitaran rumah ibadat.

Portal Pejabat Mufti Wilayah (Al-Kafi #1455) dengan judul: Hukum Melakukan Khatan Kanak-Kanak di dalam Masjid’ ada memperincikan topik ini.

Jelas laman sesawang berkenaan, “Masjid-masjid dibina dengan tujuan untuk didirikan solat, zikrullah, bacaan al-Quran dan seumpamanya. Ini seperti yang dinyatakan menerusi firman ALLAH SWT di dalam surah An-Nur ayat 36 yang mafhumnya: “Pada rumah-rumah (masjid) yang mana ALLAH telah mengizinkan untuk ditinggikan (dibina) dan disebut di dalamnya nama-NYA. Yang mana manusia itu bertasbih kepada-NYA di dalamnya (masjid) pada waktu pagi dan petang.”

Jaga akhlak dan adab

Artikel Berkaitan:

Akhlak dan adab ini adalah meliputi kesemua masjid yang didirikan solat di dalamnya sama ada masjid ataupun bukan (seperti surau-surau). Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Abbas RA dalam tafsiran beliau terhadap ayat di atas.

Juga seperti yang disebutkan dalam sebuah riwayat daripada Anas bin Malik RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya masjid-masjid ini tidak sesuai untuk sedikit pun dari air kencing ini dan juga sebarang kotoran. Sesungguhnya ia (masjid-masjid) hanyalah untuk zikrullah, solat dan pembacaan al-Quran,” (Hadis riwayat Muslim)

Menyentuh persoalan ‘majlis berkhatan di masjid’, Pejabat Mufti melihat isu berkhatan kanak-kanak yang dilakukan di dalam masjid adalah termasuk perbuatan yang menafikan fungsi masjid selaku tempat beribadah.

“Demikian juga apabila proses berkhatan ini melibatkan pendedahan aurat kanak-kanak di dalam masjid, maka ini bercanggah dengan firman ALLAH yang bermaksud: ”Dan ambillah perhiasan kamu pada setiap masjid.” (Surah al-A’raaf, ayat 31)

Perhiasan yang dimaksudkan di dalam ayat tersebut adalah ‘menutup aurat’.

Meskipun para ulama berbeza pendapat tentang batasan aurat bagi kanak-kanak melihat kepada usia mereka, namun langkah yang selamat adalah dengan meninggalkan perbuatan mendedahkan aurat tersebut di dalam masjid.

Sehubungan itu, Pejabat Mufti menyimpulkan bahawa, hukum melakukan khatan kanak-kanak di dalam masjid adalah dilarang. “Kami mencadangkan supaya perbuatan berkhatan ini dilakukan di kawasan perkarangan masjid atau bilik-bilik khas yang disediakan untuk tujuan seperti ini dan bukannya dilakukan di dalam dewan solat utama. Ini kesemuanya berdasarkan beberapa nas dan hujahan yang telah kami kemukakan di atas.” jelas laman itu lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!