Pekebun rugi RM132,515, terpedaya tawaran kerja sambilan tak wujud

Mangsa telah ditawarkan bayaran RM15 bagi setiap tanda suka, ikut dan komen ke atas setiap pemilik akaun TikTok yang akan diberikan melalui pautan di WhatsApp. - Gambar hiasan, gambar kecil: Yahaya Othman
Mangsa telah ditawarkan bayaran RM15 bagi setiap tanda suka, ikut dan komen ke atas setiap pemilik akaun TikTok yang akan diberikan melalui pautan di WhatsApp. - Gambar hiasan, gambar kecil: Yahaya Othman
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekebun mengalami kerugian sebanyak RM132,515 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun dijemput masuk ke dalam satu kumpulan di aplikasi WhatsApp pada Selasa.

Menurutnya, mangsa telah ditawarkan bayaran sebanyak RM15 untuk setiap tanda suka, ikut dan komen ke atas setiap pemilik akaun TikTok yang akan diberikan kepadanya melalui pautan di WhatsApp.

"Mangsa telah klik pautan yang diberikan kepadanya dan telah melakukan tugasan tersebut, kemudiannya dibawa masuk ke dalam grup Telegram serta telah mendapat bayaran sebanyak RM45.

"Pentadbir telah meminta mangsa untuk membayar RM200 sebelum memberikan tugasan seterusnya dan selepas membuat bayaran terbabit, mangsa mendapat RM240 membuatkan lelaki itu lebih percaya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Yahaya berkata, mangsa seterusnya telah membuat beberapa transaksi pembayaran yang lebih besar bagi mendapatkan bayaran yang lebih tinggi sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM132,515.

"Kita ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran kerja sambilan melalui media sosial yang menjanjikan bayaran lumayan.

"Orang ramai turut dinasihati supaya mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu seperti latar belakang syarikat dan membuat semakan nombor akaun yang diterima dipautan http://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat transaksi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!