Pertandingan e-Sukan HPPNK terima sambutan luar jangka

Foong Hin menyempurnakan gimik perasmian Pertandingan e-Sukan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah dekat Ipoh.
Foong Hin menyempurnakan gimik perasmian Pertandingan e-Sukan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah dekat Ipoh.
A
A
A

IPOH - Pertandingan e-Sukan yang julung kali diadakan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di sini menerima sambutan meriah dengan penyertaan 150 peserta.

Saingan secara liga membabitkan 30 pasukan itu mempertandingan permainan video e-Sukan iaitu Mobile Legends (ML) yang menawarkan hadiah keseluruhan RM10,000.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Muhammad Faris Arriffin berkata, sebahagian besar pasukan merupakan mereka yang berpengalaman dan biasa menyertai pertandingan e-Sukan di peringkat kebangsaan dan negeri masing-masing.

"Agak mengejutkan apabila banyak juga pasukan datang dari luar Perak iaitu sekitar Lembah Klang untuk sertai pertandingan ini.

"Dengan 150 peserta melibatkan 30 pasukan, saya kira ini satu penyertaan yang di luar jangkaan hingga ada penyertaan yang terpaksa kita tolak," katanya dalam sidang akhbar sempena perasmian Pertandingan e-Sukan di reruai Agro Millenia di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini pada Jumaat.

Gimik perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin dengan juara akan ditentukan dalam pertandingan akhir pada Ahad.

Pertandingan dikelolakan NAFAS dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) itu antara tarikan baharu untuk menggalakkan golongan belia berkunjung ke HPPNK.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Faris ketika meninjau hari pertama Pertandingan e-Sukan Mobile Legends (ML) yang julung kali diadakan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah dekat Ipoh.
Muhammad Faris ketika meninjau hari pertama Pertandingan e-Sukan Mobile Legends (ML) yang julung kali diadakan sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah dekat Ipoh.

Muhammad Faris berkata, menerusi pertandingan itu, golongan belia yang hadir secara tidak langsung dapat didedahkan dengan maklumat serta pengetahuan berkaitan industri pertanian dan dasar sekuriti makanan negara.

Katanya, berdasarkan rekod, keahlian sebagai ahli peladang dan persatuan nelayan bagi usia di bawah 40 tahun ketika ini, tidak sampai 15 peratus.

"Berdasarkan sambutan ini, tidak mustahil untuk kita gunakan strategi sama sebagai tarikan utama golongan muda.

"Ini selari dengan matlamat NAFAS dan NEKMAT untuk bersungguh-sungguh membantu kerajaan supaya kumpulan belia ini terus didedahkan dengan pengetahuan baru berkaitan industri pertanian dan timbul minat mendaftar sebagai ahli peladang atau persatuan nelayan," katanya.

Sementara itu, demi hobi dan minat, seorang belia sanggup meredah perjalanan sejauh 130 kilometer dari Gerik ke Ipoh bagi menyertai pertandingan e-Sukan.

Mohd Shahrezza Zainudin, 30, berkata, kesempatan menyertai pertandingan itu bersama empat lagi rakan kumpulan dikenali 'The Last Minute' adalah pengalaman sangat berharga kerana jarang berlaku terutama pada HPPNK.

"Saya kira ini satu pendekatan yang sangat baik, sambil bermain, kami dapat pengetahuan baru berkaitan industri dan teknologi pertanian, inisiatif seperti ini perlu diteruskan dalam program-program kerajaan yang lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!