Karim, Nour ungguli Skuasy Malaysia ACE 2023
KARIM Abdel Gawad dan Nour El Tayeb dari Mesir muncul juara lelaki dan wanita Kejohanan Skuasy Piala Skuasy ACE Malaysia 2023 selepas mengalahkan lawan masing-masing dalam aksi final di Gelanggang Skuasy Kompleks Sukan Haji Mohd Said Seremban 2, Negeri Sembilan pada Jumaat.
Karim, 32, pemain nombor enam dunia dan pilihan kedua kejohanan membawa pulang hadiah wang tunai ASS$51,500 (RM242,462) selepas mengalahkan rakan senegara Mostafa Asal 11-8, 12-10, 11-5 dalam masa 50 minit pada aksi di pentas final.
Beliau berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan prestasinya selepas baru kembali semula selepas kecederaan dan bertekad untuk tetap memberi saingan pada kejohanan seterusnya.
"Saya sangat bersyukur untuk kembali semula di gelanggang dan menikmati setiap detik...tidak sabar kejohanan seterusnya di Hong Kong akhir bulan ini,"kata Karim kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah.
Majlis penyampaian trofi dan hadiah kemenangan disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Penaung Persatuan Squasy Negeri Sembilan.
Dalam aksi final wanita, pemain pilihan utama, Nour hanya mengambil masih 18 minit untuk mengalahkan wakil tuan rumah, Rachel Arnold 11-12, 11-4, 11-4 serta membawa pulang hadiah wang tunai US$51,500 (RM242,462).
Nour, pemain nombor enam dunia, mengakui Rachel tidak memperagakan persembahan kemahiran dan rentak permainan sebenarnya tidak menjadi pada hari ini.
"Beliau seorang pemain dengan kemahiran yang baik dan agak licik, mungkin beberapa gerakannya tidak sebaik hari ini tetapi saya yakin beliau akan bermain lebih baik dalam pertandingan akan datang di Singapura, minggu depan," katanya.
Sementara itu, Rachel mengakui bahawa beliau tidak memberikan prestasi yang cemerlang dalam final tetapi tetap optimis untuk meningkatkan prestasinya dalam perlawanan seterusnya di Singapura.
"Jelas ini bukan yang terbaik untuk saya. Saya rasa mungkin saya terlalu berhempas pulas sepanjang minggu ini...selepas set pertama, kaki kanan saya terasa agak aneh. Jadi saya cuba, tetapi saya rasa saya tidak dapat kekalkan momentum.
"Ia cukup baik sehingga hari ini, tetapi saya masih gembira bahawa saya dapat lakukan. Saya fikir ini mungkin pencapaian terbesar saya sejauh ini dalam kerjaya saya, jadi saya gembira dengan itu," kata Rachel. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!