Kor Ming 'hadiah' sebulan gajinya kepada staf KPKT menang AIPSA
SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberi sebulan gaji beliau kepada kakitangan kementeriannya yang memenangi kategori tertinggi Anugerah Inovasi Sektor Awam (AIPSA).
Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, pemberian tersebut sebagai ganjaran dan pengiktirafan di atas jasa serta bakti mereka kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Saya mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di pejabat Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) petang tadi.
“Semasa mesyuarat berkenaan, saya telah memberi satu bulan gaji menteri kepada kakitangan KPKT yang berjaya memenangi kategori tertinggi AIPSA. Malaysia Madani, pemimpin dan rakyat berpisah tiada,” katanya menerusi Aplikasi X pada Jumaat.
Pada Rabu, KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakar sejarah apabila inovasi peranti Sistem Pemintas Frekuensi Audio (AFIS) berjaya menjuarai pertandingan AIPSA 2023 seterusnya membawa pulang ganjaran wang tunai RM1 juta, trofi dan sijil.
Inovasi peranti AFIS turut dinobatkan sebagai johan Trek Keselamatan dan Pentadbiran bagi Anugerah Inovasi Sektor Awam (AInSA) 2023.
Selain itu, KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan turut memenangi tempat pertama Trek Ekonomi bagi AInSA 2023 menerusi pembangunan portal pembayaran PBTPay-Inovasi Gerbang ePembayaran Berpusat Sektor Awam.
Kor Ming turut menyarankan kesemua kakitangan KPKT supaya sentiasa mencari inisiatif terbaik bagi mengembalikan kegemilangan kementerian itu demi kesejahteraan negara.
“Terima kasih kepada seluruh warga SWCorp kerana menjadi tuan rumah (mesyuarat) yang berjaya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!