[EKSKLUSIF] Sindiket judi online kini beroperasi secara mobil
[EKSKLUSIF] SEREMBAN - Sindiket perjudian dalam talian atau online di negara ini dilihat mengalihkan kegiatan mereka daripada beroperasi di premis-premis kepada secara mobil berikutan serbuan demi serbuan dilakukan pihak berkuasa.
Itu adalah antara modus operandi sindiket judi online yang dikesan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan menerusi Op Dadu Khas di sekitar bandar raya Seremban.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, sindiket turut dikesan bertukar-tukar lokasi dengan menggunakan peranti mudah alih seperti telefon pintar bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, pengoperasian sindiket menggunakan platform dalam talian sama ada untuk meraih dan mempromosikan melalui aplikasi WeChat, Michat, Telegram atau WhatsApp.
“Sebelum ini polis mengesan lokasi yang sering digunakan sindiket iaitu di kedai telefon, kedai runcit, premis makanan dan pusat snuker.
“Hasil serbuan dan tangkapan menerusi Op Dadu Khas, sindiket dilihat menukar modus operandi dengan bergerak secara mobil atau bebas dan tiada aktiviti di premis dikesan.
“Selain itu, taktik operasi kumpulan ini sering bertukar dengan penggunaan telefon pintar dan aplikasi perjudian di dalam telefon pemilik atau individu,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Selain itu, beliau menjelaskan, tindakan pencegahan dan susulan dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan melakukan pemotongan bekalan elektrik di premis yang menjalankan aktiviti perjudian.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) turut bekerjasama dengan polis untuk pembatalan lesen premis perniagaan yang terlibat dengan aktiviti perjudian ini serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk sekatan laman sesawang.
Tiada pembabitan orang kenamaan
Ahmad Dzaffir berkata, untuk rekod bagi tahun ini dalam tempoh 10 bulan bermula Januari, polis Negeri Sembilan berjaya melaksanakan sebanyak 244 serbuan.
Beliau berkata, hasil serbuan itu membawa tangkapan 269 orang berusia lingkungan 18 hingga 63 tahun membabitkan 250 lelaki dan 19 wanita termasuk 10 warga asing.
“Sebanyak 269 telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM20,556 telah dirampas,” katanya.
Ujar beliau, tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) telah dikenakan terhadap tiga sindiket dalam tempoh tahun 2020 hingga tahun lalu.
“Kita juga masih dalam tindakan proses maklumat risikan berkaitan lain-lain sindiket yang menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang membabitkan jenayah judi online sehingga kini,” katanya.
Mengulas mengenai pembabitan orang kenamaan atau berpengaruh dalam sindiket terbabit, beliau berkata, berdasarkan maklumat risikan tiada penglibatan individu berpengaruh dalam aktiviti perjudian online di Negeri Sembilan.
Menurut Ahmad Dzaffir, masyarakat diminta untuk salurkan maklumat secara terus kepada Bilik Gerakan Kontinjen dan Bilik Gerakan Daerah dalam Kontinjen Negeri Sembilan.
“Polis sebagai penguat kuasa undang-undang utama akan melaksanakan sebarang operasi dan serbuan secara berterusan bagi tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Sindiket atau individu diingatkan juga untuk tidak menggunakan nama PDRM bagi menghalalkan kegiatan tidak bermoral kononnya sebagai jaminan sindiket kebal daripada tindakan dan serbuan penguat kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir turut mengingatkan pegawai dan anggota supaya tidak bersekongkol dan berkompromi dengan sindiket judi online.
Tegasnya, tindakan tegas terhadap pegawai dan anggota polis yang melindungi kegiatan yang tidak bermoral akan diambil.
“Polis Kontinjen Negeri Sembilan juga melaksanakan pemantauan dalaman untuk memastikan tiada pegawai dan anggota bersekongkol dengan sindiket melalui kerjasama dan pemantauan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” jelasnya.
Statistik Januari hingga Oktober 2023
- 244 serbuan
- 269 tangkapan
- Rampasan 269 telefon bimbit & wang tunai RM20,556
- Kesan negatif
- ketagihan judiPengabaian tanggungjawab
- Implikasi kewangan
- Dibelenggu masalah hutang
- Mudah terjebak dengan perlakuan jenayah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!