Cabaran baharu Harimau Malaya

Pemain Harimau Malaya perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023, Malaysia menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Oktober lalu. - Foto: Bernama, gambar kecil: Pekan
Pemain Harimau Malaya perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023, Malaysia menentang Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Oktober lalu. - Foto: Bernama, gambar kecil: Pekan
A
A
A

HASRAT Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menakluki Asia Tenggara dalam Fasa Kedua Tindakan Strategik Peta Hala Tuju F:30 2023-2026 disifatkan bukan hanya angan-angan kosong.

Pemerhati sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan perkara itu tidak mustahil direalisasikan, namun memerlukan perancangan teliti dalam mengharungi pelbagai cabaran.

Menurutnya, badan induk itu perlu merangka strategi dengan agenda utama mengatasi ranking pasukan terbaik Asia Tenggara iaitu Vietnam yang kini berada di kedudukan ke-94 dunia.

“Kita kena mengatasi ranking negara paling top di Asia Tenggara iaitu Vietnam. Bagi pendapat saya, agak jauh untuk mengejar Vietnam yang kini di ranking ke-94 dunia dan kita di ranking ke-137 dunia kerana kita perlu mendaki banyak anak tangga ranking dalam tempoh tiga tahun ini.

“Kecuali kita mencatatkan keputusan baik di Pusingan Akhir Piala Asia, Januari depan dan Kelayakan Piala Asia/Piala Dunia nanti dan beberapa perlawanan persahabatan akan datang kerana tempoh 2023-2026 itu agak singkat.

“Apabila kita sudah mampu untuk mengatasi pasukan seperti Vietnam dan Thailand ini barulah kita akan menjadi kuasa di Asia Tenggara. Ia agak sukar tetapi tak mustahil jika kena dengan perancangannya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sebagai rekod, F:30 dilancarkan secara bersama Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada 31 Oktober 2018.

Di bawah Peta Hala Tuju F:30, FAM mahu menjadikan bola sepak Malaysia sebagai lima gergasi Asia menjelang tahun 2030 dengan tempoh 12 tahun itu dibahagi tiga pelan strategik, Fasa Pertama membina asas kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur.

Artikel Berkaitan:

Fasa Kedua yang akan diumumkan Sabtu dengan sasaran menguasai Asia Tenggara dan muncul antara pencabar utama di Asia manakala Fasa Ketiga bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencapai taraf dunia.

Dalam pada itu katanya, terdapat beberapa perkara dalam pelan Fasa Pertama yang gagal dipenuhi terutama isu tunggakan gaji pemain dalam saingan liga.

“Daripada segi urus tadbir mungkin kita tidak nampak terlalu teruk sangat, namun persoalan mengenai gaji pemain terus menjadi masalah.

“Jika dapat diselesaikan (isu itu), mungkin urus tadbir kita boleh dikategorikan berada dalam kategori gred A dalam pelan Fasa Pertama itu,” katanya.

Mengulas lanjut Pekan berkata, Fasa Kedua merupakan sebagai fasa kritikal untuk menilai sama ada pelan F:30 ini akan boleh diteruskan untuk melalui Fasa Ketiga pada 2027.

“Saya rasa Fasa Kedua ini adalah fasa yang sangat kritikal kepada FAM. Fasa yang akan menentukan di mana kita akan berada sama ada boleh pergi ke Fasa Ketiga atau sebaliknya.

“Ia transisi proses adakah kita mampu mencapai matlamat F:30 ini. Kalau Fasa Kedua ini kita tidak mencapai sasaran, jadi kita nak kena cari jalan yang lebih berliku untuk ke fasa ketiga,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!