Majlis Ulama Indonesia keluar fatwa boikot barangan, syarikat Israel
JAKARTA - Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa menggesa orang ramai memboikot barangan dan perkhidmatan syarikat yang menyokong Israel sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.
MUI berkata, umat Islam di negara itu perlu menyokong perjuangan Palestin menentang pencerobohan Israel dan mengisytiharkan bahawa sokongan untuk Israel atau penyokongnya adalah haram atau bertentangan dengan undang-undang Islam.
Sehubungan itu, Ketua Eksekutif MUI, Asrorun Niam Sholeh menggesa setiap umat Islam untuk mengelak sebanyak mungkin transaksi dan penggunaan produk Israel, elak berurusan dengan mereka yang bergabung dengan Israel serta menyokong penjajahan serta zionisme.
"Kita tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang berperang dengan Palestin, termasuk menggunakan produk yang hasilnya menyokong tindakan pembunuhan rakyat Palestin," tegas beliau.
Fatwa MUI yang terbaharu itu menggesa orang ramai memboikot jenama barat yang menunjukkan sokongan kepada Israel dalam perangnya menentang pasukan pejuang Hamas.
Fatwa MUI, bagaimanapun, tidak mempunyai kuasa undang-undang, namun berpengaruh bagi menggalakkan umat Islam di negara berpenduduk majoriti Islam paling ramai di dunia itu supaya tidak mengambil tindakan tertentu yang menyokong Israel.
Indonesia, yang menyokong kemerdekaan Palestin, menggesa penyelesaian konflik berdasarkan ketetapan rumusan dua negara yang dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Agensi/Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!