Ahli Parlimen pembangkang sokong PM tidak hilang kerusi - Saifuddin Nasution

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyebabkan mereka hilang kerusi Parlimen, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu berkata, mengikut undang-undang antilompat parti, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), hanya Ahli Parlimen yang bertindak masuk ke parti lain selain mengumumkan diri sebagai Bebas akan hilang kelayakan kerusi disandang.

"Saya menduduki jawatankuasa ini semasa digubal, mewakili PH bersama Gobind Singh Deo dan (Mohamed) Hanipa Maidin, pendirian PH tindakan Ahli Parlimen bertindak bertentangan keputusan whip parti di dalam dewan adalah dikira hilang kerusi dan Pilihan Raya Kecil diadakan.

"Tindakan bertentangan ini termasuk dalam perkara seperti undian bajet, usul undi tidak percaya dan apa-apa RUU (rang undang-undang) yang memberi kesan kepada kedudukan kerajaan. Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti kerana melanggar disiplin dan perlembagaan parti (juga) dikira hilang kerusi,” katanya dalam hantaran di Facebook, pada Sabtu.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, pendirian dan cadangan PH ketika itu tidak dipersetujui oleh Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

"(Jadi) (Tan Sri Dr) Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai pengerusi usulkan hanya cadangan mendapat konsensus semua parti akan dimasukkan (ke dalam Akta).

"Akhirnya keadaan bagaimana yang dikira Ahli Parlimen hilang kerusi? Isytihar masuk parti lain, isytihar jadi Ahli Parlimen Bebas. Isytihar sokong Perdana Menteri? Tidak hilang kerusi. Sekian," katanya.

Media semalam melaporkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan supaya undang-undang antilompat parti diluluskan Parlimen dikaji semula, kerana didakwa terdapat kelemahan terutama melibatkan situasi anggota parti itu yang bertindak menyokong Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini empat Ahli Parlimen PN daripada Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) menyatakan pendirian menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pada Khamis tindakan empat Ahli Parlimen itu tidak berkaitan dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat untuk bertukar parti yang boleh menyebabkan mereka hilang kerusi di Parlimen. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!