Kemelut Teong Kim, Perak FC akan diputuskan Mahkamah Perusahaan

Teong Kim
Teong Kim
A
A
A

KEMELUT antara bekas pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim dengan Perak FC berhubung isu tuntutan bayaran baki gajinya susulan pemecatan dan penamatan kontrak beliau yang didakwa tidak sah akan diputuskan Mahkamah Perusahaan.

Peguam Adam Yap Boon Han yang mewakili Teong Kim berkata buat masa ini, pihaknya sedang menunggu surat daripada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) Perak bagi tindakan lanjut.

"Proses perdamaian di luar mahkamah sepertimana yang diminta JPPM Perak sebelum ini membabitkan kedua-dua pihak masih tidak dapat diselesaikan. Jadi, jalan terbaik bagi menentukan keputusan adalah di mahkamah.

"Buat masa ini, pihak kami sedang menunggu surat daripada JPPM Perak yang memaklumkan tentang kes ini dirujuk ke Mahkamah Perusahaan serta tarikhnya. Pihak kami juga dalam proses menyediakan dokumentasi berkaitan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Pada 27 Jun lepas, Teong Kim memfailkan representasi kepada JPPM Perak berhubung penamatan kontrak secara salah dan tuntutan baki 16 bulan gajinya selepas dipecat pada Mei setelah lapan bulan mengendalikan Perak FC.

JPPM Perak telah memanggil kedua-kedua pihak untuk berunding pada 3 Ogos lepas selain memberikan masa hingga 26 Ogos untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku, namun menemui jalan buntu.

Peguam itu berkata antara faktor utama masalah berkenaan gagal diselesaikan adalah kerana jumlah pampasan yang ingin dibayar oleh Perak FC kepada bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu terlalu rendah daripada yang ditetapkan.

"Di pihak Teong Kim sendiri, beliau sudi untuk kurangkan jumlah pampasan awal yang diminta tetapi tawaran (pampasan) yang diletakkan itu terlalu rendah,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!