MotoGP: Quartararo terpantas latihan bebas 2 di Sepang
PELUMBA Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo dari Perancis meraih kedudukan teratas dalam sesi Latihan Bebas 2 (FP2) perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2023 di Litar Antarabangsa Sepang, di sini pada Sabtu.
Quartararo mencatatkan 1 minit 58.960 saat (s) mengatasi rakan sepasukan Franco Morbidelli di tempat kedua dengan 1:58.985s manakala pelumba Red Bull KTM Factory, Brad Binder terpaksa berpuas hati di tempat ketiga selepas merekodkan 1:59.232s.
Sementara itu dalam sesi Latihan 3 Moto2, pelumba GT Trevisan SpeedUp Fermin Aldeguer dari Sepanyol muncul terpantas selepas merekodkan 2:05.319s, diikuti Somkiat Chantra dari IDEMITSU Honda Team Asia dengan 2:05.865s dan Briton Jake Dixon dari GASGAS Aspar Team (2:05.921s) bagi kedudukan tiga teratas.
Dua pelumba wildcard negara bagi Moto2, Azroy Anuar dan Helmi Azman yang mewakili Petronas MIE Racing RW, masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-30 (2:08.766s) dan ke-31 (2:09.815s).
Dalam Moto3, Daniel Holgado dari Red Bull KTM Tech 3 menguasai sesi Latihan 3 dengan 2:11.139s diikuti Deniz Oncu dari Red Bull KTM Ajo (2:11.364s) manakala Jaume Masia dari Leopard Racing meraih tempat ketiga dengan 2:11.573s.
Seorang lagi pelumba dari Malaysia, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok mewakili MT Helmets - MSI menamatkan perlumbaan sebagai pelumba kedua terakhir di tempat ke-27 dengan catatan masa 2:14.1990s. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!