200,000 hilang tempat tinggal, 45 peratus kediaman musnah - PBB
GAZA - Dianggarkan sekitar 45 peratus daripada kediaman di Gaza telah musnah sekali gus menyebabkan 200,000 orang kehilangan tempat tinggal mereka, kata Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam urusan kemanusiaan.
Gaza merupakan antara salah sebuah kawasan penempatan yang paling padat penduduk di dunia, dengan lebih daripada 500 orang pada setiap 100 meter persegi di sebilangan besar kawasan, menurut Kesatuan Eropah.
Israel telah melakukan beberapa serangan udara lebih kurang satu kilometer dari lintasan Rafah - satu-satunya pintu masuk dan keluar dari Gaza yang tidak dikawal oleh Israel.
Lintasan itu, yang dikawal oleh Mesir, kebanyakannya telah ditutup sejak Hamas melancarkan serangannya terhadap Israel pada 7 Oktober lalu.
Utara Gaza tidak mempunyai bekalan elektrik atau bahan api sejak 11 Oktober lalu dengan separuh daripada hospital terpaksa ditutup, manakala, yang masih beroperasi pula seringkali berhadapan dengan tenaga elektrik yang terhad dan tanpa bius atau air bersih, kata pejabat kemanusiaan PBB.
Semua kedai roti di utara terpaksa ditutup, sama ada disebabkan kerosakan atau kekurangan bahan api.
Sementara loji kuasa tunggal Gaza kehabisan bahan api, dan loji penyulingan air laut di utara juga tidak beroperasi.
Media antarabanga melaporkan, air minuman semakin habis untuk ratusan ribu orang awam.
Menurut PBB pula, sebanyak 14 hospital dan 71 peratus daripada kemudahan penjagaan perubatan utama di seluruh Gaza ditutup. - Agensi/ Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!