Kisah nelayan terakhir di Teluk Tempoyak
SHAH ALAM - Laporan Khas Sinar Harian kembali. Kali ini cerita di Pulau Pinang.
Kisah seorang nelayan wanita bernama Rosinah Taib, 56, yang dirundung sedih kerana Pulau Pinang kini semakin hampir dalam melancarkan projek tambakan baharu dengan membina tiga buah pulau buatan di selatan negeri itu.
Rosinah dan suaminya Hamzah Othman tahu, projek Tambakan Selatan Pulau Pinang merupakan sebahagian daripada rancangan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan negeri itu yang bernilai RM46 bilion.
Tetapi adakah projek mega yang berpotensi memusnahkan ekosistem marin dan alam sekitar itu adalah penyelesaian terbaik untuk sistem pengangkutan di Pulau Mutiara?
Tidak semena-mena Rosinah dan Hamzah yang sudah lebih 30 tahun menjadi nelayan di Teluk Tempoyak bersedih hati dan setiap hari dilanda risau.
Ini kerana hasil tangkapan ikan, udang dan ketam mereka semakin berkurangan. Mereka takut projek terbaharu itu nanti mengambus lubuk rezeki mereka seperti penangan beberapa projek tambakan sejak lebih 40 tahun lalu di Pulau Pinang.
Bukan sahaja Rosinah keputusan kerajaan Pulau Pinang disambut dengan berat hati oleh lebih 5,000 nelayan pantai di negeri tersebut kerana bimbang masa depan mereka terjejas berikutan projek mega berkenaan didakwa akan menjejaskan ekosistem laut dan lubuk ikan yang menjadi punca rezeki.
Projek mega penuh kontroversi itu didakwa akan memberi banyak implikasi buruk terutamanya kepada nelayan pesisir pantai di seluruh Pulau Pinang yang sememangnya sudah berdepan dengan pelbagai kesan negatif akibat projek tambak laut terdahulu di negeri tersebut.
Kesan paling ketara ialah pendapatan mereka terjejas teruk saban tahun ekoran hasil tangkapan ikan, udang, ketam dan sotong yang semakin berkurangan impak daripada projek tambakan demi tambakan yang dilaksanakan kerajaan negeri sejak 50 tahun lalu di Pulau Pinang.
Berikutan itu, mereka amat bimbang dan membantah sekeras-kerasnya projek tambakan laut pada skala lebih besar itu dengan anggapan ia akan memburukkan lagi nasib mereka. Benarkah kerajaan Pulau Pinang seperti menabur pasir ke dalam periuk nasi nelayan pantai Pulau Pinang?
Jangan lupa tonton kisah perjuangan nelayan di Pulau Pinang yang menceritakan kerisauan mereka terhadap isu tambak laut ini dalam Laporan Khas Sinar Harian berjudul Nelayan Terakhir Teluk Tempoyak di Facebook Sinar Harian dan Youtube Sinar Harian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!