Amaran buat penjawat awam bersekongkol dengan penceroboh tanah

Wan Rosdy (tujuh dari kiri) bersama sebahagian penerima anugerah dalam majlis tersebut di sebuah hotel di Cameron Highlands pada Jumaat. - Foto Ihsan Pahang Media.
Wan Rosdy (tujuh dari kiri) bersama sebahagian penerima anugerah dalam majlis tersebut di sebuah hotel di Cameron Highlands pada Jumaat. - Foto Ihsan Pahang Media.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Penjawat awam diingatkan tidak bersekongkol atau bersubahat dengan penceroboh tanah haram di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia bagi memastikan aktiviti pencerobohan haram tidak lagi menjadi ‘duri dalam daging’ terhadap kemajuan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, penjawat awam boleh bertindak selaku mata dan telinga kerajaan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti pencerobohan tanah secara haram yang berlaku.

“Sekiranya saya dapati ada dalam kalangan tuan-tuan dan puan-puan yang melakukan pekerjaan haram ini, maka saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang paling tegas termasuk mengheret pengkhianat ke muka pengadilan.

“Selain itu, pada tahun ini kerajaan negeri tidak lagi mengenakan kompaun terhadap mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan secara haram, sebaliknya mereka yang didapati menceroboh akan terus dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau berucap demikian pada Majlis Apresiasi Pejabat Daerah Dan Tanah Cameron Highlands dan Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) Tahun 2021 dan 2022 yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Ujar Wan Rosdy lagi, langkah tegas tersebut bertujuan memberi ingatan dan pengajaran kepada semua pihak agar tidak menceroboh tanah kerajaan dengan sewenang-wenangnya.

Sementara itu, seramai 50 penerima anugerah dengan 18 daripadanya adalah penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Penerima Penghargaan Pencen seramai 10 orang dan 22 penerima pula telah dianugerahkan Penghargaan Bertukar Jabatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!