LPP lancar syiling emas khas hargai peladang
IPOH - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melancarkan syiling peringatan sempena 50 Tahun sebagai menghargai sumbangan warga peladang di negara ini.
Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim berkata, sebanyak 6,000 keping syiling emas edisi khas itu dikeluarkan melalui kolaborasi bersama Bank Negara.
Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan syiling khas Jubli Emas tersebut pada harga RM10 yang akan dijual mulai Disember depan.
"Saya ucap terima kasih kepada Bank Negara kerana sudi bekerjasama dengan LPP untuk mengeluarkan syiling kenangan LPP ke-50.
"Pengeluaran syiling khas ini bertujuan mengenang jasa golongan peladang, penternak dan nelayan yang telah bertungkus-lumus selama ini," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Syiling Peringatan LPP50 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya di sini pada Sabtu.
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.
Sementara itu, Azulita berkata, jualan syiling berkenaan diberikan keutamaan kepada warga peladang, penternak dan nelayan terutama mereka yang sudah lama berkhidmat dalam sektor pertanian di negara ini.
Menurutnya, selain itu orang awam terutama mereka yang mengumpul syiling edisi khas boleh mendapatkan syiling peringatan tersebut melalui Bank Negara.
"Syiling Peringatan LPP50 ini untuk orang awam ada 6,000 keping yang dikeluarkan dan keutamaan untuk ahli peladang kita.
"Di Malaysia kita ada lebih kurang 900,000 orang, hampir sejuta orang peladang. Ada yang jadi ahli Peladang berpuluh tahun, jadi sekurang-kurangnya ada kenangan yang boleh diperolehi daripada syiling khas ini," katanya.
HPPNK 2023 berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 November di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya di sini.
Majlis perasmiannya disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!