Pergaduhan akibat kemalangan selesai secara baik - Polis
SERDANG - Insiden pergaduhan akibat kemalangan melibatkan dua individu di Jalan PBS 14/11 Taman Bukit Serdang di sini yang tular di media sosial Jumaat lalu telah telah diselesaikan secara baik.
Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintenden Izuddin Ab Wahab berkata, satu laporan polis diterima pihaknya berkaitan kejadian berkenaan kira-kira jam 3.30 petang oleh seorang lelaki berumur 24 tahun.
"Siasatan mendapati pergaduhan terbabit berpunca daripada van yang dipandu seorang lelaki telah melanggar sebuah kereta.
"Kejadian mengakibatkan berlakunya pergaduhan antara pemandu van dan pemilik kereta terlibat di lokasi kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, salah seorang individu terlibat dalam kejadian terbabit telah mengalami kecederaan ringan akibat kejadian.
"Mangsa mengalami kecederaan luka kecil dan telah mendapat rawatan di Hospital Serdang," katanya.
Menurutnya, kedua-dua individu terlibat dalam kejadian telah dirakam keterangan berhubung kejadian.
"Siasatan lanjut mendapati kedua-dua individu terlibat telah bersetuju untuk menyelesaikan pergaduhan tersebut secara baik.
"Tiada kertas siasatan dibuka berhubung kejadian berkenaan," katanya.
Pada Jumaat, tular rakaman video memaparkan berlaku pergaduhan melibatkan dua individu dipercayai akibat kemalangan di Jalan PBS 14/11 Taman Bukit Serdang di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!