HPPNK meriah, catat lebih 200,000 pengunjung dalam dua hari

Mohamad (kiri) menandatangani potret beliau ketika hadir merasmikan Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah sempena HPPNK 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah di Ipoh pada Sabtu.
Mohamad (kiri) menandatangani potret beliau ketika hadir merasmikan Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah sempena HPPNK 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah di Ipoh pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini paling meriah sepanjang penganjurannya.

Beliau berkata, dalam tempoh dua hari sahaja, lebih 200,000 pengunjung direkodkan melibatkan kehadiran seluruh negara.

Menurutnya, dengan sambutan luar jangkaan itu, pihaknya yakin sasaran kehadiran 350,000 pengunjung dapat dicapai menjelang hari terakhir penganjuran pada Ahad.

"Saya tak hadir yang dulu (penganjuran HPPNK sebelum ini), tetapi pegawai-pegawai maklumkan kali ini lebih meriah.

"Hari ini walaupun hujan, kehadiran cukup memuaskan.

"Malam ini kita ada persembahan Jamal Abdillah dan esok daripada Ramli Sarip, saya harap kehadiran pengunjung akan melebihi sasaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah sempena HPPNK 2023 di sini pada Sabtu.

Mohamad turut berpuas hati dengan capaian jualan pelbagai produk yang menjadi tumpuan utama rakyat seperti tanaman, input pertanian dan barangan makanan terutama beras.

Katanya, pameran inovasi dan teknologi yang dibawa pula telah berjaya memberi pengetahuan baharu kepada golongan muda untuk terlibat dalam bidang pertanian bagi memastikan keterjaminan makanan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Saya ucap terima kasih atas kunjungan semua dan kepada wartawan yang telah memberikan publisiti.

"Harap teruskan lagi memanggil orang ramai hadir memandangkan esok ada satu hari lagi, hari cuti penuh," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan memberi fokus yang tinggi dalam Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah dalam usaha meningkatkan penyertaan golongan belia dalam pertanian.

Ujarnya, usaha itu termasuklah memudahkan urusan pinjaman bagi mereka yang berhasrat membuka perusahaan baharu berkaitan pertanian dan agromakanan.

"Sekarang ini, sudah ada (golongan muda) yang terlibat dalam pelbagai bidang, ada yang terlibat pertanian hinggalah memelihara kambing.

"Kita sedang berusaha bantu, kalau nak buka perusahaan baharu, kita akan salurkan (permohonan) kepada Agrobank untuk beri pinjaman mudah kepada mereka," katanya.

Dalam program itu, Agrobank menerima dana RM1.8 juta menerusi Unit Agropreneur Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Setakat ini, sebanyak lima institusi pengajian tinggi (IPT) dan satu kolej vokasional sudah menyertai Program Pembangunan Belia Tani di Kalangan Siswazah (PROBEST) membabitkan 100 peserta menerima manfaat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!