'Muhyiddin sepatutnya jadi ketua pembangkang kukuhkan sokongan' - Shahrir

Shahrir Abdul Samad
Shahrir Abdul Samad
A
A
A

SHAH ALAM – Sokongan empat ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) tidak akan beralih arah sekiranya tanggungjawab sebagai ketua pembangkang digalas oleh Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, jika Tan Sri Muhyiddin sendiri mengisi jawatan ketua pembangkang tentunya beliau dapat benar-benar memimpin ahli-ahli Parlimen PN dalam Parlimen.

Menurutnya, kehadiran pemimpin mereka di barisan hadapan 'perang politik' di dalam Dewan Rakyat pastinya akan merangsangkan mereka.

“Ini adalah satu sebab mengapa ahli-ahli Parlimen parti itu tidak segan silu beralih sokongan kepada kerajaan.

“Saya pasti mereka tidak sempat rapat dan tidak berapa kenal sangat dengan Tan Sri Muhyiddin selaku pemimpin tertinggi parti mereka.

“Sepatutnya beliau pegang jawatan ketua pembangkang dan tidak serahkan kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin selaku Setiausaha Agong PN,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.

Jelasnya, kepincangan yang sama juga berlaku apabila Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan jawatan ketua pembangkang kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dan kecelaruan dalaman UMNO dan BN turut juga tercetus sehingga Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Naib Presiden UMNO pula yang menjadi Perdana Menteri ke-9.

Artikel Berkaitan:

“Kini, giliran Muhyiddin pula, semakin kurang lah butang yang boleh ditekan,” selorohnya.

Tambahnya, kejadian empat ahli Parlimen PN beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan membuktikan pentingnya peranan ahli Parlimen dalam sistem demokrasi berparlimen.

“Mereka bukan sahaja menyatakan sokongan kepada kerajaan tapi telah beralih tempat duduk keluar dari blok pembangkang.

“Secara mutlaknya, mereka tidak lagi dalam blok pembangkang dan kalau pun bukan dalam blok kerajaan, taraf mereka adalah sebagai ahli Parlimen bebas.

Shahrir berkata, pemimpin tertinggi parti-parti pembangkang, terutamanya Pas dan Bersatu pada zahirnya tidak sangat melihat Parlimen sebagai institusi terpenting dalam sistem politik negara.

“Bagi saya, inilah satu kelemahan PN sehingga membuka ruang kepada ahli-ahli Parlimen mereka beralih sokongan mereka.

“Kepimpinan politik bukan hanya di peringkat parti. Kepimpinan itu juga perlu dilihat dan dirasai dalam Parlimen,” ujarnya.

Jelasnya lagi, sistem berparlimen negara mengiktiraf kehadiran Pembangkang dengan diwujudkan jawatan Ketua Pembangkang.

“Jawatan ini bukan sahaja lengkap dengan elaun, pejabat dan kakitangan bahkan mempunyai kedudukan tinggi dari segi protokol negara,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!