Organisasi sektor awam perlu perkasa perkhidmatan dari masa ke masa - PM

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Organisasi sektor awam selaku jentera yang menyokong agenda kerajaan perlu memperkasakan penyampaian perkhidmatan secara telus, cekap dan mesra rakyat dari masa ke masa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu perlu bagi memastikan negara dan rakyat dapat menikmati keharmonian serta kemakmuran yang berterusan.

"Kerajaan Madani pada hari ini menekankan kemampanan dan kesejahteraan manusia secara holistik supaya dasar kerajaan serta pelaksanaannya memberi manfaat kepada rakyat.

"Ini kerana kita berdepan dengan dunia yang masih bergelut dengan adu kuasa dan peperangan, kerancakan perdagangan ekonomi sejagat kian terbantut dan krisis iklim serta persekitaran yang berada di tahap genting," kata beliau dalam teks ucapan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2023 di sini malam ini.

Teks ucapan Anwar dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili beliau merasmikan majlis itu.

Turut hadir Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Perdana Menteri berkata, sebagai jentera kerajaan yang bertanggungjawab dalam penyampaian perkhidmatan awam cemerlang, semua kakitangan organisasi sektor itu perlu berfungsi secara tuntas.

"Pelan Perindustrian Negara, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia dan Belanjawan Madani tidak akan dapat diterjemahkan sepenuhnya jika tidak dilaksanakan oleh perkhidmatan yang dinamik dan agresif.

Artikel Berkaitan:

"Kemampanan dan tatakelola perkhidmatan awam perlu lebih ampuh dalam menoktahkan persepsi negatif dan kebejatan perkhidmatan awam," kata beliau.

Mengenai pencapaian KPKT, Anwar berkata, inisiatif kementerian itu seperti MyKiosk dan Rumah Mesra Rakyat Madani mempunyai elemen kesan pengganda kepada ekonomi setempat yang selari dengan objektif utama Ekonomi Madani iaitu memperkasakan kehidupan rakyat.

"Apabila kita memberi peluang kepada peniaga kecil menambah pendapatan, kita sebenarnya merancakkan lagi penjanaan pendapatan dalam ekonomi setempat dan apabila menempatkan rakyat kita dalam rumah yang berdaya huni, setiap individu dapat menikmati kemudahan asas yang selesa.

"KPKT dalam hal ini juga telah melaksanakan prakarsa (inisiatif) yang seiring dengan hasrat Ekonomi MADANI malah memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, antara inisiatif itu ialah pembinaan sebanyak 4,250 unit Rumah Mesra Rakyat dengan subsidi RM20,000 bagi setiap rumah dan pembayaran bulanan yang rendah bagi masyarakat luar bandar membina kediaman mereka sendiri.

"Selain itu, membina sebanyak 3,209 gerai MyKiosk yang berkuasakan tenaga solar dengan kadar sewa yang rendah bagi memperkasakan golongan B40 untuk memulakan perniagaan dan meningkatkan pendapatan,” katanya.

Anwar berkata, semua pencapaian inisiatif itu adalah usaha penjawat awam yang kompeten dan cemerlang.

"Saya berbangga dengan semangat tinggi KPKT yang tidak bertangguh malah mengambil langkah segera dalam menyambut dan menggerakkan pelaksanaan Kerangka Ekonomi Madani.

"Saya amat berharap momentum semangat tinggi ini dapat dikekalkan sehingga membuahkan hasil seperti yang dihasratkan,” kata Perdana Menteri. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!