Pecah masuk rumah sarang burung walit, tiga lelaki ditahan

Antara peralatan yang dirampas daripada suspek yang ditahan selepas disyaki memecah masuk rumah sarang burung walit di Kampung Sempam Baru, Raub pada Khamis. - Foto ihsan PDRM
Antara peralatan yang dirampas daripada suspek yang ditahan selepas disyaki memecah masuk rumah sarang burung walit di Kampung Sempam Baru, Raub pada Khamis. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

RAUB - Tiga lelaki ditahan selepas disyaki memecah masuk rumah sarang burung walit di Kampung Sempam Baru, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman memberitahu, ketiga-tiga suspek berumur 29 hingga 43 tahun itu diberkas kira-kira jam 2.30 petang di kawasan kebun getah dekat Chegar Medang, Benus dekat Bentong pada hari sama.

Menurutnya, sebelum itu, pihak polis menerima aduan daripada seorang lelaki yang mendakwa pintu rumah sarang burung walitnya tercabut kira-kira jam 6 pagi dan terdapat kesan potongan di bahagian pintu tersebut.

"Selain daripada itu, sistem loceng penggera juga telah dirosakkan.

"Pengadu kemudiannya membuat pemeriksaan dan mendapati beberapa barangan telah hilang dipercayai dicuri," kata beliau dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujar beliau, ketiga-tiga suspek adalah penganggur dan masing-masing memiliki lebih sembilan rekod lampau atas kesalahan dadah dan jenayah.

"Ujian saringan air kencing ke atas tiga-tiga suspek juga didapati positif methamphetamine dan mengaku terlibat dalam kejadian ini.

"Ketiga-tiga suspek masih dalam tahanan reman pihak polis dan kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK)," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Jelas Mohd Shahril lagi, hasil siasatan awal juga, mereka mengaku terlibat sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah sarang walit di daerah ini.

Ujar beliau, polis tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga suspek terbabit terlibat dalam kes sama di luar daerah Raub.

"Saya ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan keadaan sekeliling serta kehadiran orang luar yang mencurigakan.

"Sebarang maklumat boleh terus disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-3552222," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!