Paip rancang dapatkan bekalan sumber air dari Sungai Ichat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) merancang untuk mendapatkan bekalan sumber air dari Sungai Ichat di Cameron Highlands bagi memastikan kuantiti air mentah mencukupi untuk kegunaan di daerah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, ini berikutan bekalan air dari Sungai Terla sudah tidak mampu menampung keperluan semasa apabila Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla hanya mampu membekalkan 68 peratus kegunaan air mentah kepada penduduk di daerah Cameron Highlands.

Sehubungan itu, pihaknya merancang melakukan 'river diversion' dengan Sungai Terla pada suku kedua 2020.

"Jadi, kita rasakan aliran air mentah dari Sungai Terla kini sudah tidak dapat menampung keperluan semasa dan pembangunan yang mendatang di Cameron Highlands buat masa terdekat ini.

"Justeru, air mentah dari Sungai Ichat amat diperlukan bagi memastikan kuantiti air mentah yang mencukupi dan stabil, sekali gus dapat disalurkan kepada penduduk di daerah itu," katanya dalam satu kenyataan dipetik dalam laman sosial Facebook rasmi Paip hari ini.

Saiful Zaini berkata, kerja-kerja pembersihan di kawasan Sungai Ichat telah dilakukan dan kualiti air mentah di sungai terbabit semakin pulih.

Jelasnya, justeru pemantauan kualiti air mentah akan dilakukan oleh pihaknya pada setiap minggu secara berkala.

Sementara itu, mengulas isu pengusiran 60 pekebun sayur di kawasan terbabit, Saiful Zaini berkata, Paip menyokong penuh tindakan yang diambil kerajaan Pahang dalam isu penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan sedemikian sebenarnya dapat menjamin kelestarian sumber bekalan air sejagat khususnya di Sungai Ichat.

"Sebagaimana umum tahu, sumber air yang bersih, selamat dan mencukupi dapat menjamin kehidupan sempurna dan pembangunan yang mampan kelak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!