Hizbullah tingkat serangan ke atas Israel
[DIKEMAS KINI] PEMIMPIN berpengaruh gerakan Hizbullah, Hassan Nasrallah berkata, kumpulan itu telah menggerakkan tindakan ke atas Israel sejak seminggu lalu dan serangan yang dilancarkan di selatan Lebanon itu akan berterusan.
Bahkan, Hizbullah turut menggambarkan serangan itu sebagai ‘sokongan tambahan.’
Berucap kepada penyokong-penyokongnya buat kali kedua sejak tercetusnya perang antara Israel dan Hamas, Hassan berkata, Hizbullah yang dianggap sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom serta negara-negara lain - sedang berusaha untuk menakluk wilayah Israel bersama-sama dengan senjata merangkumi pengeboman melalui dron dan peluru berpandu dengan bahan letupan antara 300 dan 500 kilogram.
Israel dan Hizbullah saling berbalas serangan di sempadan kedua-dua negara itu sejak lebih sebulan lalu – namun begitu, sehingga kini sebilangan besar serangan itu hanya berlaku di kawasan ketenteraan dan tempat terbuka.
Dalam ucapan sulungnya pada minggu lalu, Hassan berkata, Hizbullah sudah melakukan tindakan yang mencukupi dalam membantu Hamas di Gaza, dengan memastikan tentera Israel sibuk mengawal keselamatan di utara sempadan.
Kepada yang ternanti-nanti pengumuman berhubung tindakan yang akan diambil Hizbullah dalam masa terdekat pula, Hassan menitipkan pesanan:
“Segala tindakan yang akan berlaku kelak adalah jawapan kepada tanda tanya itu.” - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!