Simpan wang hasil pecah rumah dalam akaun bank kakak
BEAUFORT - Taktik seorang lelaki memasukkan wang hasil jenayah pecah rumah ke dalam akaun bank kakaknya terbongkar selepas ditahan polis dalam satu serbuan di Kota Kinabalu pada Selasa lalu.
Suspek lelaki berusia 20-an bersama kakaknya berusia 30-an dipercayai terlibat melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Kota Kinabalu dan Beaufort.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki turut terlibat kes pecah rumah di daerah ini pada 5 November lalu.
"Siasatan mendapati suspek melakukan kes pecah rumah tersebut sehingga menyebabkan kerugian wang tunai sebanyak RM78,000.
"Pendedahan awal mendapati suspek telah memasukkan wang hasil pecah rumah ini ke dalam beberapa nombor akaun bank milik ahli keluarganya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, susulan daripada itu, pasukan serbuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort telah membuat tangkapan terhadap seorang wanita pada Rabu lalu.
"Wanita tersebut disyaki sebagai pemilik akaun penerima wang daripada suspek dan wang tunai sebanyak RM30,320 berjaya dirampas sepanjang tempoh siasatan dilakukan.
"Suspek wanita ditahan reman di IPD Beaufort selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala adiknya ditahan di IPD Kota Kinabalu bagi kes pecah rumah di Kota Kinabalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!