Mbappe masih berbisa ledak hatrik
PENYERANG sensasi, Kylian Mbappe membuktikan sentuhannya masih tajam setelah meledak hatrik ketika membantu Paris Saint-Germain (PSG) membenam Reims 3-0 dalam aksi Ligue 1 awal pagi Ahad.
Kapten Perancis itu tidak menunggu lama untuk mendapatkan 'bisanya' apabila membuka tirai jaringan pada minit ketiga sebelum menokok dua lagi gol pada minit ke-59 dan 82.
Pemain berusia 25 tahun itu meluahkan rasa gembira dengan kejayaan tersebut dan sedar menjadi tanggungjawabnya sebagai penyerang untuk menghadiahkan kemenangan buat pasukan.
“Sebagai penyerang, sudah tentu tugas saya adalah menghasilkan gol dan beraksi sebaik mungkin. Saya mahu kedua-duanya iaitu bermain dengan baik dan menyumbat gol.
“Sasaran sudah tercapai (menang), namun paling penting saya dapat membantu pasukan meraih kemenangan kerana ia amat berharga dalam memburu kedudukan tempat teratas,” katanya.
Mengulas kemenangan itu sebagai kebangkitan PSG selepas tewas kepada AC Milan dalam saingan Liga Juara-Juara sebelum ini, Mbappe menyifatkan ia merupakan dua kejohanan berlainan.
“Ia adalah saingan berbeza dan apa yang kami mahu lakukan ialah menang. Kami mempunyai masa untuk perbaiki corak permainan dalam Liga Juara-Juara tetapi Ligue 1 adalah pertandingan yang berbeza.
“Ini bermakna pemikiran yang berbeza dan cara bermain yang berlainan,” katanya.
Kemenangan itu meletakkan PSG di puncak liga dengan 27 mata setelah pencabar terdekat Nice terikat tanpa jaringan dengan Montpellier dalam satu lagi aksi.
“Keputusan seri (Nice) yang bagus dan kami mahu mengambil tempat teratas. Ia sudah selesai dan kami gembira,” ujar Mbappe.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!