Rumah ala kadar, penat tempuh banjir berulang
SEPANG - Suami yang patah kaki akibat kemalangan menyebabkan seorang wanita sarat mengandung terpaksa mengemas sendiri rumah mereka yang dilanda banjir di Kampung Cemperai, Dengkil di sini.
Suri rumah berkenaan, Siti Naziah Mohd Nawi, 36, berkata, bapa mentuanya bantu membasuh lumpur selepas air surut sebelum dia mengambil alih saki baki kerja pembersihan tersebut.
Bercerita lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, mereka sekeluarga telah menempuh kejadian banjir itu saban tahun yang semakin memburuk sejak tiga tahun lalu.
"Kami hanya ada barang asas sahaja di rumah. Kami tak boleh nak hias rumah cantik-cantik kerana setiap tahun akan hadapi banjir berulang.
"Banyak perabot dan perkakasan rumah terpaksa dibuang dan kami beli barang-barang yang penting sahaja kerana tak mahu terus menerus tanggung kerugian," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, situasi tersebut terpaksa dihadapi mereka saban tahun dan tidak boleh berpindah kerana duduk di rumah sendiri.
"Kebanyakan perkakasan rumah kami akan letak di tempat tinggi supaya tidak kelam kabut alihkan jika banjir.
"Kalau boleh saya harap kerajaan sedia peruntukan untuk naik taraf sungai dan tinggikan ban kerana penduduk penat tiap tahun perlu kemas rumah akibat banjir," katanya.
Seorang lagi penduduk, Noriah Abdul Kadir, 56, berkata, kekerapan banjir kebelakangan ini menyebabkan penduduk bimbang untuk meninggalkan rumah dalam tempoh lama.
Ujarnya, kawasan tersebut sudah lama tidak alami banjir menyebabkan dia dan arwah suami membuat keputusan membina rumah di atas tanah pusaka keluarga pada 2021.
"Bagaimanapun, kami tambak tanah guna 80 lori bagi pastikan tapak rumah jadi tinggi sebagai persiapan jika berlaku banjir.
"Sebelum ini kalau sungai melimpah pun tidak masuk sampai ke dalam rumah, namun kejadian Ahad lalu menyebabkan rumah saya turut dilanda banjir hingga diarah berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS)," katanya.
Katanya, kejadian tersebut menyebabkan dia kerugian sekitar RM4,500 apabila perabot termasuk pintu kabinet dan almari terpaksa dibuang selepas tidak dapat digunakan selepas ditenggelami banjir.
"Ada yang syorkan supaya kami berpindah disebabkan banjir berulang tapi kami duduk di rumah sendiri bukan menyewa.
"Saya harap kerajaan dapat gunakan peruntukan besar bagi atasi masalah banjir di sini sepenuhnya. Pembangunan pesat menyebabkan kawasan ini yang terletak di hilir sungai kerap terkena kesan akibat limpahan sungai," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Rohaizal Taib, 43, meluahkan kebimbangan kemungkinan berlaku banjir berulang dalam masa terdekat.
"Dalam seminggu rumah alami banjir berulang sebanyak beberapa kali dan saya dapat maklumat kawasan sama berisiko banjir lagi susulan ramalan hujan lebat dalam beberapa minggu lagi.
"Disebabkan itu, saya kemas rumah pun ala kadar sahaja kerana sebelum ini sudah bersihkan rumah sebelum dilanda banjir semula," katanya.
Dia harap kerja meninggikan ban dapat disegerakan supaya impak banjir di sini dapat dikurangkan.
"Pada masa sama, saya harap kerajaan dapat naik taraf sungai di sini dengan kerja pelebaran dan memasang batu sangkar atau konkrit sebagai penghadang daripada air melimpah akibat hujan.
"Sungai berhampiran rumah ini merupakan aliran air dari kawasan lain menuju ke Sungai Langat menyebabkan apabila berlaku hujan di Hulu Langat, kami penduduk juga perlu waspada risiko banjir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!