Pengunjung puas hati, penganjuran HPPNK bawa impak tinggi
IPOH - Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini bermula Jumaat hingga Ahad berjaya memberi impak kepada pengunjung mengenai kepentingan sektor agromakanan sebagai agenda penting negara.
Empat fokus utama dibawa iaitu Agro Millenia, Agro Teknologi dan Inovasi, Sejahtera Madani dan Agro Madani memberi ruang kepada semua lapisan masyarakat menghargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan.
Ruang pameran dan jualan yang disediakan bukan sahaja memberi kesempatan kepada mereka yang datang dari seluruh negara menikmati makanan dan hasil pertanian, malah mendapatkan ilmu pengetahuan serta maklumat mengenai bantuan pertanian atau perniagaan disediakan kerajaan dan agensinya.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, pengunjung yang hadir berpuas hati dengan pendekatan penganjuran HPPNK 2023 yang disifatkan berprestij dan berada di kelas tersendiri.
Bekas pembantu veterinar, Wong Kam Kin, 63, dari Ipoh berkata, banyak informasi dan input baharu mengenai pertanian dan penternakan diperoleh ketika berkunjung ke karnival itu.
Dia yang bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhasrat untuk mengaplikasikan teknik baharu tanaman di sekolah dan komuniti setempat agar lebih berdaya saing.
"Semua yang ada sini merupakan golongan profesional jadi sudah tentu kita dapat informasi yang tepat.
"Kalau dulu kita didedahkan ilmu ternak sahaja, sekarang selain menternak, mereka juga diajar bagaimana nak promosi dan pasarkan produk. Eloklah begitu barulah kita dapat tunjukkan bagaimana nak maju dalam pertanian," katanya.
Bagi Teridi Harun, 73, dia gembira memperolehi banyak pokok benih yang dijual jauh lebih murah daripada pasaran antaranya kelapa pandan, durian belanda dan limau untuk ditanam di kebun di kediamannya di Parit.
Katanya, sudah dua hari berturut-turut dia dan keluarga berkunjung ke HPPNK dengan hasrat untuk meninjau keseluruhan reruai yang disediakan.
"Pameran macam ini semuanya lengkap, satu hari tak cukup nak jalan semua. Saya pernah pergi ke HPPNK sebelum ini, tetapi kali ini lebih meriah.
"Ada yang jual anak pokok, produk industri, beras, pameran, khidmat nasihat sampailah ke pameran lembu dan ayam, serba-serbi semuanya ada," katanya.
R Mahaletchmi, 25, dari Sungai Siput pula kagum dengan penggunaan teknologi dan inovasi dalam pertanian seperti yang dipamerkan dalam HPPNK kali ini.
Pelajar universiti itu berkata, langkah itu menunjukkan industri pertanian negara telah mencapai tahap sama dengan negara maju untuk membantu petani menghasilkan produk pertanian dengan lebih produktif.
"Jujurnya saya tak pernah tengok mesin-mesin dan jentera canggih seperti yang ada di pameran ini.
"Saya rasa, mana-mana anak muda yang melihat pun akan buka mata untuk sama-sama menceburi bidang pertanian," katanya.
Kali terakhir HPPNK diadakan pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!