Tindakan agresif Damok di Sepang 'makan diri'

Damok (kanan) menamatkan perlumbaan di tempat tercorot setelah terjatuh menuju baki tiga pusingan dalam saingan Moto3 di Sepang pada Ahad. - Foto Facebook MTHelmets-Msi.
Damok (kanan) menamatkan perlumbaan di tempat tercorot setelah terjatuh menuju baki tiga pusingan dalam saingan Moto3 di Sepang pada Ahad. - Foto Facebook MTHelmets-Msi.
A
A
A

TINDAKAN agresif pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman pada aksi perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2023, memakan diri sendiri apabila terlibat kemalangan sekali gus menamatkan saingan di tempat tercorot di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad.

Menceritakan detik kemalangan yang dialami ketika berbaki tiga pusingan, pelumba berusia 22 tahun yang lebih dikenali sebagai Damok di bawah kendalian pasukan MT Helmets-MSi berkata, ketika itu dia sedang berusaha merapatkan jurang bersama pelumba di hadapan kerana yakin mampu membutirkan mata.

"Saya memintas satu pelumba dan cuba untuk mengejar pelumba hadapan dan mungkin telah melebihi limit, jadi saya cuba untuk kejar dari selekoh dan saya hilang kawalan, mungkin kerana terlalu agresif.

"....sewaktu di pusingan ke-10, saya melihat berada di kedudukan (untuk kejar mata) jadi yakin boleh menamatkan saingan di kedudukan ke-13, namun bukan rezeki saya minggu ini," katanya yang menamatkan saingan di kedudukan ke-20 dengan 34 minit 25.180 saat.

Damok bagaimanapun kekal optimis masih mampu memberi saingan, apabila semakin menemui rentak untuk mengendali jentera KTM dengan berbaki dua lagi perlumbaan Grand Prix di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar (17 hingga 19 November) dan Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol (24 hingga 26 November).

"Saya harap pasukan kekalkan jentera yang sama untuk perlumbaan seterusnya, jadi saya lebih yakin...berbaki dua pusingan ini, saya harap saya dapat menunjukkan sesuatu dan kutip mata," katanya.

Sementara itu, Collin Veijer dari Liqui Moly Husqvarna Intact GP merangkul kejuaraan Moto3 selepas mencatat masa 33:30.072s sementara rakan sepasukannya Ayumu Sasaki dari Jepun, menduduki tempat kedua dengan 33:30.138s, diikuti Jaume Masia dari Leopard Racing berada di tempat ketiga dengan 33:30.400s. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!