MotoGP: Bastianini raih gelaran pertama 2023 di Sepang
[DIKEMAS KINI] PELUMBA Ducati Lenovo Team, Enea Bastianini berjaya merangkul kemenangan pertamanya musim ini, selepas memenagi perlumbaan Grand Prix (MotoGP) Malaysia 2023 pada Ahad.
Bastianini yang bermula dari petak ketiga, berjaya memotong rakan sepasukan dan juara dunia Francesco Bagnaia serta Jorge Martin dari pasukan Prima Pramac Racing pada pusingan pertama untuk mendahului perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pelumba dari Itali itu melintasi garisan penamat dalam masa 39 minit 59.137 saat (s) sekali gus mengakhiri kemarau kejuaraannya, selepas kali terakhir meraihnya pada GP Aragon, Sepanyol pada September 2022.
Juara perlumbaan pecut semalam Alex Marquez dari Gresini Racing MotoGP yang ketinggalan 1.535s menduduki tempat kedua, manakala Bagnaia di tempat ketiga.
Pesaing terdekat Bagnaina, Martin hanya menamatkan perlumbaan di tempat keempat (4:09.633s) manakala bekas juara dunia 2021 Fabio Quartararo dari Monster Energy Yamaha MotoGP di tempat kelima (40:14.137s).
Dalam pada itu, Bastianini amat gembira kerana berjaya kembali ke podium, selepas menghadapi musim yang sukar tahun ini disebabkan kecederaan dialaminya sebelum ini.
"Saya berasa hebat sekarang ini. Ia kemenangan pertama saya tahun ini. Ia suatu yang hebat sekali kerana pasukan telah bekerja dengan baik sekali dari mula sehingga ke akhirnya," katanya pada sidang akhbar selepas perlumbaan.
Sementara itu, Marquez berkata, ia merupakan minggu yang baik untuknya di Sepang dan mahu terus menunjukkan aksi terbaiknya pada perlumbaan seterusnya di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar dari 17-19 November.
Dengan MotoGP 2020 menuju ke penamatnya musim ini, keputusan hari ini meletakkan Bagnaia mendahului 14 mata di hadapan Martin, yang sehingga kini telah pun mengutip 398 mata.
Walaupun dengan kelebihan mata itu, Bagnaina atau lebih dikenali sebagai Pecco, gembira dapat mengatasi Martin di Sepang tanpa sebarang isu.
"Ia masih satu kelebihan yang kecil. Kita akan ke Qatar seperti apa yang dilakukan di sini dan menyasarkan untuk bermula dengan kuat. Namun demikian permukaan litar yang baru di sana menjadikan keadaannya lebih sukar untuk diramalkan," katanya.
Selepas GP Qatar, musim 2023 akan menutup tirainya dengan perlumbaan di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol dari 24 hingga 26 November ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!