Kempen 11 Minit ‘Untukmu Palestin’ berjaya diterjemah
SHAH ALAM - “Rakyat Palestin khususnya di Gaza dinafikan hak mereka dengan akses kepada air bersih, elektrik, kesihatan, dan hak untuk hidup aman sebagai seorang manusia," kata Ketua Operasi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP), Muhd Farhan Muhd Fadhil.
Menurutnya, sebagai seorang insan khususnya umat Islam perlu menyokong keteguhan rakyat Gaza untuk terus tinggal di situ (da’im sumud) dengan memberikan sokongan moral, kewangan dan paling penting doa.
“Kita mengharapkan solidariti ini sebagai satu tekanan dan isyarat kepada Barat dan sekutunya yang seluruh dunia mengutuk perbuatan kejam dan zalim Israel ke atas penduduk Palestin,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kempen 11 minit bergelap di rumah sebagai tanda bersama-sama merasai penderitaan rakyat Palestin yang disekat hak mereka.
Naratif kemenangan dan pembebasan Palestin diterjemah dalam kempen ‘Untukmu Palestin’ yang berlangsung di Bangunan Wisma MBSA Shah Alam semalam.
Turut menyambut kempen ini ialah Menara Kuantan, Dataran Drawbridge, Flat 100 Sungai Pinang, komuniti Taman Melewar, Taman Sri Gombak, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu dan PPR Setapak Jaya.
Sementara itu Ahli Jawatankuasa Wanita Berjasa Shah Alam, Nor Raihan Izzati Che Zahir berkata, masyarakat Malaysia turut serta dalam kempen ini dengan berkumpul di rumah atau tempat masing-masing, dan menutup lampu pada jam 9 malam seterusnya berdoa, bermunajat dan membaca doa Qunut Nazilah selama 11 minit kemudian bersama-sama membuka lampu.
“Berjasa turut bersama menjayakan kempen anjuran GSSP itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!