24 individu Muslim ditahan berhibur sambil minum arak
JOHOR BAHRU - Seramai 24 individu beragama Islam ditahan kerana disyaki mengambil minuman keras sewaktu operasi khas Op Hibur Bersepadu di sebuah premis hiburan di bandar raya ini pada awal pagi Ahad.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, operasi dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bermula pada jam 1 pagi.
Menurutnya, mereka yang ditahan di bawah Seksyen 19 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 itu terdiri daripada 22 warga tempatan dan dua warga asing diserahkan kepada JAINJ untuk tindakan selanjutnya.
"Selain itu, seramai 139 individu yang sedang berhibur di premis berkenaan turut diperiksa. Saringan air kencing mendapati lapan lelaki dan dua wanita positif dadah.
"Kesemua yang ditahan berusia antara 17 hingga 45 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kamarul Zaman berkata, dalam satu operasi berasingan pula empat lelaki dan tiga wanita ditahan kerana didapati positif dadah di sebuah premis hiburan.
"Mereka berusia antara 20 hingga 68 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan dibuat terhadap 91 individu yang sedang berhibur di premis tersebut.
"Turut ditahan seorang individu yang bekerja sebagai juruwang di premis itu. Manakala seorang penjawat awam turut diperiksa dalam premis tersebut dan hasil saringan awal air kencing adalah negatif," katanya.
Menurut beliau, kesemua ditahan telah direman selama tiga hari bermula Ahad dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!