Konflik keyakinan terhadap PN punca ahli Parlimen beralih sokongan?

Ahmad Zaharuddin Sani
Ahmad Zaharuddin Sani
A
A
A

ALOR SETAR - Konflik yang menyebabkan meruntunnya keyakinan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) terhadap kepimpinan sedia ada selain kepincangan dalaman gabungan itu boleh diterjemahkan sebagai antara punca beralih sokongan.

Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, ia antara faktor empat ahli Parlimen PN menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain dipengaruhi hala tuju PN yang tidak jelas, sumber kewangan atau peruntukan serta kejayaan diraih Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, ia berlaku selepas PN gagal mengotakan janjinya kepada rakyat bahawa gabungan itu dapat mengambil alih kepimpinan kerajaan pada Ogos dan kini gerakan itu dilihat semakin merudum.

“Isu kepercayaan terhadap kepimpinan PN itu sendiri yang menyumbang kerana empat ahli Parlimen berkenaan merupakan ‘pemerhati senyap’ atau tidak aktif dalam sidang Parlimen.

“Kemungkinan pemerhatian mereka terhadap isu dibawa PN tidak begitu meyakinkan rakyat terutama dalam kawasan mereka. Kerana itu kepincangan kepimpinan dan hala tuju PN yang tak jelas menyebabkan mereka beralih sokongan memilih siapa yang terbaik ketika ini, iaitu Anwar,” katanya di sini pada Ahad.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis lalu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis lalu.

Beliau mengulas tindakan empat ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, dimulakan oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim serta Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, kepincangan dalaman yang sukar lagi ‘disorok’ menyebabkan ahli parti keliru dengan hala tuju parti khususnya melibatkan kes mahkamah Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

“Seperti mana sebelum ini, pemimpin yang dikaitkan kes mahkamah menyatakan akan berehat untuk fokus kepada kes pendakwaan namun akhirnya apabila terpalit kes masih lagi memimpin seolah ‘kata tidak dikotakan’.

“PN juga tidak pernah umum siapa pemimpin PN yang diangkat sebagai Perdana Menteri. Jika masih mahu kekalkan Muhyiddin, kenapa beliau bukan ketua pembangkang? Ini kerana ketua pembangkang akan rintis jalan menjadi Perdana Menteri, sama seperti perjalanan Anwar dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” jelasnya.

Menurutnya, keyakinan terhadap Muhyiddin semakin kabur apabila dibayangi Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang kini dilihat lebih menonjol.

“Sekiranya Muhyiddin berkeyakinan, pastinya sebagai pemimpin pembangkang beliau berdiri di barisan hadapan mengetuai ahli pembangkang di Parlimen, namun tugas itu diserahkan kepada Hamzah yang ketika ini dilihat seperti ‘menari rentak’ sebagai pemimpin utama.

"Beliau juga lebih banyak adakan sidang media PN dan menonjolkan dirinya sebagai pemimpin berpotensi, ia menampakkan konflik dalaman PN,” jelasnya.

Ahmad Zaharuddin Sani berkata, kedudukan Pas sebagai ahli terbesar dalam gabungan itu juga dipersoalkan.

“Di mana kedudukan Pas? Status Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) sebagai pemimpin senior yang seharusnya lebih ditonjolkan PN namun malangnya seolah diketepikan,” katanya.

Beliau berkata, isu peruntukan turut membelenggu ahli Parlimen pembangkang kerana tiada peruntukan dalam perlembagaan yang menyatakan kerajaan perlu salurkan dana tertentu kepada ahli Parlimen.

“Bergelar ahli Parlimen hanya gah pada statusnya. Ia memerlukan kekuatan kewangan apatah lagi selepas dana PN dibekukan SPRM menyebabkan ahli tercari-cari mekanisme yang boleh bantu dapatkan peruntukan untuk kawasan.

“Pendirian PN yang enggan berunding dengan kerajaan berhubung isu peruntukan menjerat diri sendiri. Peruntukan kewangan pembangunan telah disalurkan, yang menjadi persoalan ialah dana individu sebagai wakil rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, sekiranya ahli Parlimen berkenaan mengadakan rundingan dengan Kerajaan Perpaduan secara peribadi, sudah tentu diikat dengan perjanjian.

“Tak salah untuk dedahkan dokumen perjanjian kepada umum untuk dinilai sama ada ia relevan atau tidak wajar,” tegasnya.

Tambah beliau, kekangan kewangan menyebabkan sukar untuk ahli Parlimen menyalurkan bantuan segera kepada pengundi di kawasan seterusnya menghakis kepercayaan rakyat.

“Kelancaran pembangunan akan terjejas, bantuan segera bencana terbantut, maka mereka terpaksa memilih antara kekal dalam ego parti menolak rundingan atau utamakan permasalahan rakyat.

“Tindakan mereka mungkin dikecam segelintir pihak namun mereka berasakan tindakan itu membantu rakyat. Mana harus diutamakan kepentingan peribadi atau isu rakyat? Timbang tara itu menyebabkan mereka beralih sokongan,” ujarnya.

Jelasnya, biarpun tindakan itu boleh disifatkan berkepentingan peribadi namun ia dapat membantu menyelesaikan isu pembangunan di kawasan diwakili.

“Saya percaya akan ada lagi ahli Parlimen PN mengikut jejak empat wakil rakyat tersebut, tidak mustahil cecah kepada 10 orang,” katanya lagi.

Ahmad Zaharuddin Sani memaklumkan, momokan Kerajaan Perpaduan akan gagal kini seolah lenyap malah akar umbi dilihat tidak lagi terikat pada gelombang dicipta sebelum ini yang kini semakin reda.

“Kepercayaan terhadap kerajaan dilihat meningkat, tiada isu besar ketika ini boleh dijadikan agenda politik PN.

"Elemen ini menunjukkan kejayaan kerajaan menyebabkan empat wakil rakyat memikirkan kembali rasional menjadi pembangkang atau duduk bersama saf kerajaan dan perjuangkan agenda rakyat,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!