Pemimpin Islam tidak sepakat
RIYADH - Pemimpin Islam dan Liga Arab mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan di Gaza, tetapi enggan mengenakan sekatan ekonomi dan politik terhadap Israel yang berterusan mengebom penduduk Gaza.
Hasil resolusi dalam Sidang Kemuncak Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh pada Sabtu telah menonjolkan perpecahan kalangan pemimpin wilayah Arab dalam menangani krisis yang mungkin akan membabitkan negara lain, lapor AFP.
Sidang kemuncak itu berlangsung ketika kemarahan sedang membuak-buak di Asia Barat berhubung serangan darat dan udara rejim Zionis yang kini telah mengorbankan lebih 11,000 orang awam dengan kebanyakan kanak-kanak.
Israel berkata, mereka berazam memusnahkan pejuang Hamas dalam serangan dilancarkan pada 7 Oktober yang mana pegawainya berkata kira-kira 1,200 orang warganya terbunuh manakala 240 menjadi tebusan.
Resolusi yang dibuat pada Sabtu itu turut menolak dakwaan Israel bahawa rejim itu mempertahankan diri dan menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat ketetapan lebih tegas dan mengikat, untuk menghentikan pencerobohan Israel.
Terdahulu, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman terus menekan Amerika Syarikat (AS) dan Israel untuk menamatkan serangan di Gaza dengan mengumpulkan suara pemimpin Arab dan Muslim untuk mengukuhkan lagi mesej tersebut.
Tindakan itu disokong oleh pemimpin Liga Arab yang hadir antaranya Presiden Iran, Ebrahim Raisi; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Perdana Menteri Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dan Presiden Syria, Bashar al-Assad.
Putera Mohammed menegaskan pendiriannya terhadap kecaman dan penolakan mutlak kerajaan Arab Saudi terhadap perang ke atas Palestin.
“Kita menghadapi malapetaka kemanusiaan yang membuktikan kegagalan Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan pencabulan undang-undang antarabangsa secara terang-terangan oleh Israel,” katanya dalam ucapan pada sidang kemuncak itu.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pula berkata, rakyat Palestin sedang menghadapi ‘perang pembunuhan beramai-ramai’ dan menggesa AS menamatkan pencerobohan Israel.
Presiden Iran, Ebrahim Raisi pula memuji tindakan pejuang Hamas memerangi Israel dan menggesa negara Islam mengenakan sekatan minyak dan barangan ke atas Israel.
“Tiada cara lain selain menentang Israel. Kami menghormati Hamas dalam perjuangannya terhadap Israel,” kata Raisi
Lawatan Raisi ke Arab Saudi adalah yang pertama oleh seorang ketua negara Iran dalam tempoh lebih sedekad.
Tehran dan Riyadh secara rasmi menamatkan permusuhan selama bertahun-tahun di bawah perjanjian yang diuruskan oleh China pada Mac lalu.
Presiden Indonesia, Joko Widodo pula berkata, Hospital Indonesia di utara Gaza terus menjadi sasaran serangan Israel dan telah kehabisan minyak.
Beliau berkata, semua pihak perlu mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan Israel menghentikan serangan.
“OIC mesti menggunakan semua bahagian untuk meminta Israel bertanggungjawab atas kekejaman kemanusiaan yang telah dilakukannya,” ujar beliau. Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan memberitahu pemberita bahawa tidak mungkin ada perbincangan mengenai masa depan Gaza kecuali menguatkuasakan gencatan senjata segera.
“Sidang kemuncak itu juga menuntut penghentian pengepungan ke atas Gaza, akses untuk bantuan kemanusiaan, dan menghentikan penjualan senjata kepada Israel,” katanya.
Beberapa negara Arab, diketuai oleh Algeria, menggesa hubungan diplomatik dengan Israel diputuskan sepenuhnya. Namun sekurang-kurangnya tiga negara, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang menormalisasikan hubungan dengan Israel pada tahun 2020, menolak cadangan itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!