‘Bernas kena bantu pesawah' - Akmal Saleh
SHAH ALAM - Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) perlu memainkan peranan dalam mengawal selia harga siling beras putih tempatan (BPT) bagi menjaga kepentingan semua pihak termasuk 240,000 pesawah negara ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, cadangan menaikkan harga BPT daripada RM26 kepada RM32 bagi 10 kilogram (kg) dibimbangi akan menyebabkan berlakunya lambakan padi yang tidak terjual.
Menurutnya, Bernas perlu memainkan peranan dengan membeli padi daripada pesawah tempatan dan tidak boleh terus menggunakan alasan syarikat hanya menampung pembelian 10 peratus pengeluaran dalam negara.
“Jadi inilah masanya Bernas kena membantu pesawah dan rakyat kita serta tidak hanya sekadar menguntungkan kilang-kilang swasta.
“Kalau kilang-kilang swasta ini tidak mahu beli beras atau padi daripada pesawah kita, Bernas perlu gunakan polisi sedia ada untuk beli semua padi,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook pada Ahad.
Pada Sabtu, media tempatan melaporkan, Badan Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini bagi menjaga masa depan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu, terutama pesawah.
Kenaikan harga siling penting bagi mengelakkan berlakunya longgokan padi tempatan berikutan pengilang tidak lagi berminat meneruskan pembelian beras kerana harga yang rendah.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, pesawah di negara ini perlu diperkasakan semula menerusi penubuhan koperasi bagi memajukan sistem pengeluaran padi dengan lebih baik.
Ujarnya, kerajaan juga wajar memberi ruang dan peluang kepada pesawah menguasai kemahiran penggunaan teknologi dan mesin sedia ada.
“Koperasi pesawah ini bagi membantu mereka membeli mesin yang mempunyai saiz yang pelbagai untuk bantu percepat lagi keluaran beras negara,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!