Israel berjuang berpandukan undang-undang antarabangsa - Netanyahu
[DIKEMAS KINI] BENJAMIN Netanyahu sekali lagi menolak kritikan dan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat berikutan lebih 11,000 kematian di Gaza akibat perang negaranya ke atas wilayah tersebut.
Menurut Perdana Menteri Israel itu, pasukan tentera negaranya berjuang berpandukan undang-unang antarabangsa.
"Ini adalah pertempuran antara peradaban dan kekejaman," katanya dalam wawancara dengan CNN pada Ahad.
"Israel berperang mengikut undang-undang antarabangsa. Tentera Israel sedang melakukan tugas yang baik untuk cuba meminimumkan kematian orang awam."
Justeru, tegas beliau, komuniti antarabangsa tidak boleh memberikan sokongan moral 'kepada kejahatan', tambah Netanyahu.
Dalam pada itu, Netanyahu mendakwa, kerajaannya sedang berusaha membantu memindahkan pesakit-pesakit dari hospital di Gaza di sebalik serangan darat dilancarkan tentera negara itu.
Dalam masa sama, Netanyahu berkata, tiada sebarang imuniti akan diberikan kepada pasukan pejuang Hamas dari Palestin.
"Kami telah menetapkan laluan ke zon selamat di selatan Bandar Gaza," katanya kepada wartawan CNN, Dana Bash pada Ahad.
"Kami mahu semua orang awam dipindahkan dari kawasan berisiko."
Netanyahu, bagaimanapun terus mendakwa, Hamas sedang melakukan segala daya untuk terus membahayakan mereka.
"Kami telah berusaha memindahkan semua pesakit dari hospital itu (Al-Shifa, hospital terbesar Gaza) dan kira-kira 100 orang telah dipindahkan," dakwa Netanyahu lagi.
"Tidak ada alasan mengapa kita tidak boleh memindahkan pesakit dari sana."
CNN turut melaporkan agensi berita berkenaan tidak dapat mengesahkan dakwaan Netanyahu berhubung proses perpindahan pesakit dari Al-Shifa.
Israel sebelum ini mengumumkan koridor kemanusiaan di hospital itu, namun, Jawatankuasa Bulan Sabit Merah Antarabangsa tidak dapat mengesahkan sebarang proses perpindahan itu telah berlaku.
Pertempuran yang serius berhampiran pusat perubatan itu telah mengakibatkan suasana di Gaza berada 'keadaan bahaya' dengan pesakit dan kakitangan terperangkap di dalamnya.
Manakala ambulans tidak dapat memberikan perkhidmatan kepada mangsa yang terluka selain sistem bantuan sokongan hidup tidak dapat berfungsi kerana tiada bekalan elektrik, kata pejabat kesihatan di Gaza dan agensi bantuan antarabangsa.
Netanyahu tetap tolak permintaan antarabangsa adakan gencatan senjata
WASHINGTON/TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu temu bual bersama penyiar NBC, News, Kristen Welker tetap berdegil menolak permintaan antarabangsa yang semakin membuak memaksa Israel mengadakan gencatan senjata.
Dalam temu bual pada Ahad itu juga, Netanyahu digasak dengan tekanan soalan dari Welker sehingga beliau akhirnya mengakui bahawa Israel terpaksa menyasarkan orang awam kerana Hamas.
Menurut Netanyahu, Hamas harus bertanggungjawab ke atas kematian orang awam kerana meletakkan pejuangnya dalam kawasan hospital, sekolah, serta fasiliti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Netanyahu juga ditekan dengan pertanyaan berkenaan pengeboman israel ke atas hospital-hospital di Gaza.
Berikut antara petikan wawancara berkenaan:
Kristen Welker: Berapa banyak kematian orang awam yang anda sanggup tanggung untuk mencapai matlamat utama anda untuk menghapuskan Hamas?
Benjamin Netanyahu: Jika saya mengikut kehendak saya, tiada orang awam akan terbunuh. Jika Israel mempunyai caranya, dan seruan kita didengari, mereka semua akan keluar dari bahaya. Dan sebenarnya, saya bernasib baik sekarang dan bernasib baik: beratus-ratus ribu telah keluar dari bahaya, mendengar seruan kami dan mengatasi ancaman Hamas terhadap mereka dengan senjata, bukan untuk meninggalkan zon...
Kristen Welker: Adakah anda tahu berapa ramai orang awam telah dibunuh, adakah anda tahu berapa ramai orang awam telah terbunuh? Adakah anda mempunyai angkanya?
Benjamin Netanyahu: Saya tidak akan mempercayai angka Hamas. Apabila anda mengatakan pegawai Gaza, itu adalah pegawai Hamas...
Kristen Welker: Apakah anda mempunyai angkanya?
Benjamin Netanyahu: Ia lebih rendah daripada yang ada. Dan apa yang paling penting, Kirsten, ialah kita melihat penurunan yang berterusan dalam jumlah kematian orang awam, serangan darat kita diteruskan.
Kristen Welker: Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia berkata bahawa, walaupun Hamas didakwa telah melakukan jenayah perang, namun hukuman kolektif oleh Israel terhadap orang awam Palestin adalah sama seperti dengan jenayah perang’...
Benjamin Netanyahu: Saya boleh katakan bahawa apa yang dikatakan oleh pesuruhjaya PBB itu adalah kata-kata kosong, kerana perbezaan utama adalah, adakah kami sengaja menyasarkan orang awam? Tidak. Kami melakukan segala-galanya untuk menyasarkan pengganas dan (kematian) orang awam, adalah seperti yang selalu berlaku dalam setiap perang yang sah, kadang-kadang dipanggil 'kerosakan sampingan.”
Netanyahu dalam masa sama turut menggesa pembebasan semua 239 tebusan yang diambil dalam serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober lalu.
Perdana Menteri Israel itu Netanyahu juga mengesahkan kerajaan beliau sedang mengusahakan perjanjian untuk mendapatkan semua tawanan.
“Jika kita mahu keamanan, kita perlu memusnahkan Hamas. Inilah yang mesti Israel lakukan dan inilah yang akan dilakukan Israel,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!