Azmeer beli tanah RM200,000 jana sewa rumah RM2,500 sebulan
SHAH ALAM - Bekas pemain bola sepak yang kini jurulatih Trinity FC, Azmeer Yusof, 36, memulakan langkah pelaburan menjana pendapatan masa tua dengan membeli sebidang tanah bagi mendirikan rumah lima pintu untuk disewakan.
Ujar beliau, lot tanah berkeluasan 836 meter persegi itu dibeli dengan harga RM200,000 dan menetapkan kadar sewaan sekitar RM500 hingga RM600 sebulan.
“Inilah duit ‘pencen’ saya, pendapatan kira-kira RM2,500 sebulan sudah mencukupi untuk tampung kehidupan saya kerana sebelum bersara saya sudah langsaikan segala hutang dengan bank.
“Jadi dengan hasil sebanyak itu, Alhamdulillah saya boleh hidup tanpa bekerja. Ini salah satu inisiatif yang boleh dilakukan.
“Tidak semua orang mampu mengendalikan perniagaan kerana tiada pengalaman dan kemahiran sehingga pada akhirnya gagal atau jatuh muflis,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menasihati rakan seperjuangannya yang lain untuk melakukan pelaburan masa depan bagi menjamin kesenangan hidup di hari tua kelak.
Bagaimanapun, Azmeer berkata, setiap individu mempunyai cara tersendiri dan perkongsian itu hanyalah sebagai rujukan untuk membantu individu yang tidak mempunyai idea.
“Rumah sewa adalah salah satu pilihan untuk kita jana pendapatan selepas berhenti main bola sepak. Simpan duit dari sekarang. Beli tanah, beli rumah dan sewakan.
“Percayalah, anda akan dapat ‘pencen‘ setiap bulan. Gaji pemain bola sepak sekarang lima angka. Mustahil tak boleh simpan wang RM500,000 sebelum bersara. Kalau anda rasa tak mampu untuk menyimpan, tolong periksa semula gaya hidup anda,” ujarnya.
Tambah beliau, ia merupakan usaha untuk membantu diri sendiri dan orang lain pada masa akan datang namun, segalanya akan ditentukan oleh ALLAH.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!