Nurul Ain, suami selamat dibawa keluar dari Gaza

Nurul Ain dan suami selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah jam 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia) pada Ahad.
Nurul Ain dan suami selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah jam 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia) pada Ahad.
A
A
A
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan warga Malaysia yang berada di kawasan konflik di Gaza, Nurul Ain Haron bersama suami, warga Palestin Mohamed A M Shaat telah selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah jam 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia) pada Ahad.

Menerusi kenyataan, KLN berkata, ketibaan Nurul Ain dan suami di Lintasan Sempadan Rafah telah dimudah cara oleh Duta Besar Malaysia ke Kaherah bersama pegawai-pegawai kedutaan yang lain.

"Sejurus tiba di Lintasan Sempadan Rafah, Nurul Ain telah dihubungi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir untuk bertanya khabar melalui panggilan video," kata kementerian itu pada Isnin.

Ujar KLN, tindakan evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Anwar Ibrahim dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi semasa lawatan ke republik itu pada 23 Oktober yang lalu.



Penyelarasan lanjut turut dilakukan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.

"Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mereka," kata KLN.

Dalam pada itu, kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Mesir, Qatar, Kedutaan Besar Mesir dan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur atas jalinan kerjasama serta keutamaan yang telah diberikan kepada Malaysia dalam usaha menjalankan proses evakuasi warganegara Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza dengan selamat.

Pada 11 Oktober lalu, Wisma Putra mengesahkan lima rakyat Malaysia iaitu seorang wanita dan seorang ibu bersama tiga anak sedang berada di Tebing Barat susulan pertempuran antara Israel dan Palestin sejak 7 Oktober.

Sementara itu, Nurul Ain yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, terkandas di Khan Younis, Gaza selepas berkunjung buat pertama kalinya ke kampung halaman suami pada 1 Oktober.

Kedua-dua pasangan yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu sepatutnya meninggalkan Gaza pada 25 Oktober lalu melalui sempadan Rafah menuju ke Mesir sebelum menaiki penerbangan ke UAE hari berikutnya.
Artikel Berkaitan:


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!