PRK Kemaman: Pas masih pertimbang calon sesuai
MARANG - Pucuk pimpinan Pas masih belum memuktamadkan calon yang akan dipilih untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember depan.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan mengenai calon yang sebulat suara dipilih akan diketahui pada malam Khamis ini.
"Kita belum muktamad lagi tunggu malam 16 hari bulan lah... Insya-ALLAH akan diumumkan.
"Kita juga belum buat keputusan lagi (calon yang dipilih) dan masih lagi dalam pertimbangan. Tengoklah dalam masa sehari dua lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Penggal 1 Tahun 2023/2024 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri juga tidak memperincikan latar belakang senarai calon yang dihantar serta tidak mengiakan atau menafikan sama ada beliau dipilih sebagai calon.
"Anak tempatan ke, wallahu a'lam. Saya tak boleh sebut. Samalah di KT (PRK Kuala Terengganu) dulu pun nama saya diuar-uarkan tapi tak dapat saya jadi calon. Tengoklah sehari dua lagi ye. Sabar menunggu," ujarnya berseloroh.
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya negeri membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU-15 pada 26 September lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK Kemaman pada 2 Disember depan dan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 November.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.
Alias berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin yang mendapat 8,340 undi manakala calon Pejuang, Rosli Ab Ghani hanya memperoleh 506 undian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!