Anwar akan bertemu pemimpin perniagaan di luar sidang APEC
SAN FRANCISCO - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan pertemuan secara individu dengan para pemimpin perniagaan terkemuka Amerika, di sela-sela Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di sini, dari 14-17 November 2023.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pertemuan ini bertujuan untuk memuktamadkan pelaburan bernilai tinggi yang akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia selaras dengan strategi dan objektif yang digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030 (NIMP 2030).
Selain itu, Anwar yang juga merupakan menteri kewangan dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin Ekonomi APEC untuk meneroka cara mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang bagi manfaat bersama.
Anwar akan diiringi oleh isteri beliau Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta para pegawai kanan Kerajaan.
Perdana Menteri juga dijangka menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat BlackBerry dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kerjasama keselamatan siber.
Sementara itu, mengambil kesempatan daripada kehadiran Anwar di San Francisco, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga mengatur pertemuan secara individu dengan pengurusan tertinggi Google, Enovix, Microsoft dan TikTok.
Pertemuan ini juga bertujuan untuk memuktamadkan pelaburan berpotensi yang akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia, selaras dengan strategi dan objektif yang digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi Madani dan NIMP 2030. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!