Dr Mahathir perjelas sebab Anwar tidak jadi Perdana Menteri lebih awal
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan punca Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri lebih awal selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dr Mahathir berkata, sewaktu beliau bersama DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), tampuk kepimpinan parti berkenaan telah memilihnya untuk menjadi Perdana Menteri.
“Bagaimanapun, mereka juga tentukan saya jadi Perdana Menteri untuk beri peluang kepada Anwar jadi Perdana Menteri dan saya terima itu.
“Akhirnya, saya terima jadi calon Perdana Menteri dengan syarat bahawa saya jadi Perdana Menteri untuk suatu tempoh dan diserah kepada Anwar,” katanya menerusi Podcast Keluar Sekejap Episod ke-65 yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir memaklumkan, niatnya itu tidak dapat dilunaskan kerana berlakunya Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH hilang kedudukan.
Tambahnya, jika jawatan itu diserahkan kepada Anwar, beliau sama sekali tidak berupaya untuk menjadi Perdana Menteri kerana PH sudah hilang majoriti.
“Saya janji dan mahu tunai janji. Saya nak beri (jawatan Perdana Menteri) kepada Anwar, tetapi sebelum saya dapat beri, parti tolak saya. Apabila parti tidak yakin dengan saya, tindakan saya, saya perlu letak jawatan.
"Ketika itu juga, saya dapati PH akan kalah kerana Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menjatuhkan PH.
"Kalau saya angkat Anwar jadi Perdana Menteri, dia tidak akan jadi," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!